HALAMAN SANTAI

Jumaat, 9 Jun 2017

Lebin 1,000 belia daftar sebagai pengundi baharu

BERNAMA

Mohd Hashim Abdullah


Lebih 1,000 belia termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) mendaftar sebagai pengundi baharu menerusi Program Pendidikan Pengundi 'Generasi Penggerak Demokrasi' yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak Februari lepas.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata program berkenaan merupakan modul pendidikan pengundi yang memberi tumpuan kepada golongan muda untuk mengenali dan memahami sistem serta proses pilihan raya di Malaysia.

"Ia bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda terhadap kepentingan mendaftar sebagai pemilih dan menyertai proses demokrasi bagi menentukan masa depan negara menerusi proses pilihan raya.

"Program ini dilaksanakan kerana penyertaan daripada golongan ini masih belum memuaskan dan satu usaha berterusan perlulah dibuat," katanya pada sidang media selepas sesi dialog bersama pelajar Kolej Komuniti di sini, hari ini.

Beliau berkata SPR menyasarkan 134,176 penuntut daripada 180 IPT akan mengikuti program berkenaan dan menjangkakan lebih ramai belia mendaftar sebagai pemilih.

Menerusi program itu, SPR turut mengadakan simulasi bagi memberi pendedahan kepada belia tentang proses pilihan raya serta memberi penjelasan berhubung isu-isu semasa dan perkara berbangkit.

Mohd Hashim berkata daripada 14.3 juta jumlah keseluruhan warganegara yang mendaftar sebagai pengundi sehingga suku keempat tahun lepas, seramai 2.4 juta orang adalah dalam lingkungan usia 21 hingga 29 tahun atau 16.9 peratus manakala pemilih berusia di antara 30 hingga 39 tahun adalah kira-kira 3.4 juta orang atau 23.54 peratus.

Menurutnya terdapat 3.8 juta orang yang layak mendaftar sebagai pemilih namun masih belum berbuat demikian dengan majoritinya adalah golongan belia.

Tiada ulasan: