KUALA LUMPUR – Malaysia mengambil pendekatan tunggu
dan lihat berhubung krisis diplomatik di antara Qatar dengan empat buah
negara Arab lain.
“Kita memang rapat dengan negara-negara Teluk namun buat
masa ini kita sedang memantau rapat perkembangannya kerana masih tidak
tahu apa isu sebenarnya,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
hubungan Malaysia dengan Qatar selepas empat buah negara di Asia Barat
mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan negara
berkenaan.
Hari ini, empat buah negara Arab Saudi, Emiriah Arab
Bersatu, Bahrain dan Mesir mengambil tindakan memutuskan hubungan
diplomatik dan menutup pintu-pintu sempadan dengan Qatar.
Mereka mendakwa tindakan tersebut diambil kerana Qatar menyokong terorisme dan ekstremisme.
Bagi Malaysia, Qatar merupakan rakan dagang ketiga terbesar
negara di Asia Barat dengan keseluruhan perdagangan meningkat tiga kali
ganda sejak 10 tahun lalu kepada AS $42.38 juta pada 2015 berbanding AS
$26.5 juta pada 2005.
Antara eksport utama Malaysia ke Qatar adalah barangan elektrik dan elektronik serta mesin. -MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan