OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mencadangkan
Hospital Kajang menyemak dan menambah baik prosedur pengendalian mayat
bagi mengelakkan kecuaian terhadap perkara itu.
Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, pihaknya
sudah berbincang dengan hospital terbabit untuk menjalankan siasatan dan
menyediakan laporan terperinci berhubung dakwaan kecuaian dalam
pengurusan penyerahan mayat oleh unit forensik mereka.
“Pihak hospital disaran menambah baik prosedur supaya perkara ini tidak lagi berulang.
“MAIS turut menggesa semua pihak supaya tidak membuat kenyataan yang
boleh menimbulkan kontroversi dengan memeberikan gambaran tidak tepat,”
katanya dalam kenyataan.
Kenyataan MAIS itu merujuk kepada laporan polis dibuat Pusat Jagaan
Al-Fikrah yang menyatakan jenazah mualaf, Hassan Abdullah atau Lim Ah
San diuruskan menurut cara Islam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan
Islam Sungai Kantan, Kajang kira-kira jam 11.30 pagi, pada 4 Jun lalu.
Sebelum ini, jenazah mualaf terbabit disempurnakan mengikut upacara
buddha selepas secara tidak sengaja diserahkan kepada badan kebajikan
menyebabakan jenazahnya dibakar dan hanya tinggal abu sebelum kesilapan
itu disedari.
Perkara itu dikatakan berpunca daripada kekeliruan nama jenazah yang
seakan sama dengan satu lagi mayat yang ditempatkan di Unit Forensik
Hospital Kajang.
Namun, abu mayat Hassan tetap dituntut Pusat Jagaan Al-Fikrah yang
juga merupakan pusat jagaan pernah dihuni lelaki mualaf berumur 74 tahun
itu sebelum dikebumikan secara Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan