KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan jumlah perokok
kepada 15 peratus menjelang 2025 dan kepada kurang lima peratus pada
2045, sejajar sasaran menjadikan negara bebas asap rokok.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata bagi mencapai
matlamat itu, Kementerian Kesihatan menggiatkan usaha pemerkasaan dan
promosi kesihatan secara menyeluruh bagi membantu golongan perokok
menghentikan tabiat tidak sihat itu.
Katanya kerajaan melakukan pelbagai inisiatif seperti menaikkan cukai
eksais rokok, meletakkan amaran kesihatan bergambar pada kotak rokok dan
larangan merokok di hampir kesemua tempat awam untuk memerangi tabiat
buruk itu .
"Kita harapkan supaya rakyat mengambil serius mesej yang dibawa
kerajaan dalam memerangi rokok dan bekerjasama bersama kita dalam
melahirkan negara bebas rokok," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2017 di ibunegara
semalam.
Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut pada setiap 31 Mei di seluruh
dunia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam isu produk tembakau
yang memudaratkan kesihatan.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015 menunjukkan
bahawa 22.8 peratus yang bersamaan lima juta rakyat Malaysia berumur 15
tahun ke atas adalah perokok, dengan majoritinya adalah lelaki iaitu 43
peratus merupakan kumpulan masih produktif dan menyumbang kepada
pertumbuhan ekonomi negara.
Subramaniam berkata negara perlu membelanjakan RM2.92 bilion setahun
bagi kos merawat penyakit-penyakit berkaitan yang disebabkan amalan
merokok.
Secara purata, rakyat Malaysia membelanjakan RM178 sebulan bagi tujuan merokok.
"Bayangkan betapa banyak peluang keemasan untuk meningkatkan tahap
kesihatan dan kesejahteraan keluarga jika dibandingkan dengan
perbelanjaan untuk membeli rokok," katanya.
Subramaniam berkata penyertaan dan kerjasama yang lebih luas antara
sektor awam, swasta, bukan kerajaan serta masyarakat amat penting dalam
memastikan pelaksanaan kawalan tembakau yang berkesan di seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan