HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Jun 2017

Mesyuarat Biro Politik PKR Selasa ini turut bincang isu Sivarasa

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Biro Politik PKR akan membincangkan isu Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa yang didakwa mencemari kesucian masjid dalam mesyuarat mingguan mereka, Selasa depan.
 
Bagaimanapun menurut Naib Presidennya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, isu pemimpin PKR itu bukan menjadi agenda utama mesyuarat berkenaan.
 
Beliau juga berkata parti tidak merasakan keperluan untuk mengambil tindakan terhadap Sivarasa meskipun perkara itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
 
"MB sudah buat kenyataan, maka kita berpegang dengan kenyataan itu sebelum apa-apa laporan yang dibincangkan oleh Biro Politik," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Semalam Sultan Selangor sekali lagi meluahkan rasa kecewanya terhadap Sivarasa, dengan menyifatkan tindakan tersebut sebagai sudah melampaui batas.
 
Baginda bertitah pemimpin PKR itu tidak mengendahkan peringatan supaya masjid tidak dijadikan tempat berpolitik sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam.
 
Baginda juga bertitah mana-mana pemimpin politik boleh berucap di luar kawasan masjid selain mengingatkan nazir dan jawatankuasa masjid tidak terlibat dengan isu politik.
 
Mengulas lebih lanjut, Shaharuddin berkata isu membabitkan Sivarasa itu mungkin terjadi atas kesilapan tafsiran.
 
"Itu amaran Sultan kerana Baginda menjaga kepentingan Islam di Selangor. Kita akur dengan amaran itu. Tetapi soal tafsiran itu, dijalankan di mana, ucapan berbentuk politik atau tidak. 
 
"Pada saya perkara yang setiap kali timbul setiap kali puasa, beraya, ia timbul untuk mempertikai (peranan) kerajaan Selangor. Pada saya ia tak perlu diperbesarkan," katanya.
 
 
 

Tiada ulasan: