HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Jun 2017

Selagi saya PM, Felda terbela’, kata Najib

Berita Daily Staff

Disebabkan titik peluh warga felda selama ini, Malaysia kini merupakan negara pengeluar kelapa sawit kedua terbesar di dunia dan juga pengeluar getah asli kelima terbesar di dunia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Najib Razak memberi jaminan akan terus membela nasib warga Felda di seluruh negara selagi beliau masih lagi memegang jawatan perdana menteri.

Najib berkata, disebabkan titik peluh warga felda selama ini, Malaysia kini merupakan negara pengeluar kelapa sawit kedua terbesar di dunia dan juga pengeluar getah asli kelima terbesar di dunia.

“Sebahagian besar kejayaan ini adalah hasil titik peluh warga Felda. Warga Felda adalah sebuah komuniti yang sangat dekat di hati saya kerana telah dibangunkan oleh Allahyarham ayahanda saya Tun (Abdul) Razak.

“Model perniagaannya telah meningkatkan taraf hidup warga Felda dari generasi ke generasi hinggalah ke hari ini. Oleh kerana Felda memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan sosioekonomi negara, kerajaan sangat menitikberatkan kebajikan mereka,” kata Najib, di laman www.najibrazak.com, hari ini.

Najib berkata, Felda kini sedang mengusahakan rumah generasi kedua yang membolehkan warga Felda memiliki rumah dengan harga sekitar RM70,000.

Beliau berkata, sebanyak 8,470 unit rumah generasi kedua sedang dibina dalam Fasa 1 dan 4,990 buah rumah dijangka siap pada tahun ini.

Felda juga katanya mempunyai tabung bantuan kebajikan peneroka yang membolehkan peneroka menerima bantuan kewangan maksimum RM10,000.

Bantuan kewangan itu katanya adalah untuk mereka yang menghidap penyakit kronik dan kemusnahan harta disebabkan bencana alam. Permohonan juga boleh dibuat untuk membeli alat bantuan kesihatan.

Dalam bidang pendidikan pula, Najib berkata, anak-anak Felda yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT tempatan dan luar negara berhak menerima insentif kewangan seperti skim insentif anak peneroka dan dana khas pelajar cemerlang ke luar negara.

“Satu lagi bantuan yang teristimewa yang diberikan oleh Felda adalah bantuan membaik pulih rumah yang sedia ada termasuk pembesaran rumah dengan nilai maksimum sebanyak RM40,000, dan pinjaman ini adalah pinjaman tanpa faedah.

“Akhir kata, selagi saya memegang jawatan perdana menteri, Insya-Allah, saya akan memastikan kemajuan Felda ditingkatkan dan kebajikan warganya terjamin,” kata Najib lagi.

Tiada ulasan: