HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 Jun 2017

Pentadbiran Najib Razak terus tekan rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA


SHAH ALAM: Majoriti isi rumah miskin bandar amat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan bebanan hutang yang terpaksa ditanggung, kata Rodziah Ismail.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga itu berkata, kenyataan itu jelas disokong kenyataan Pakar Perancang Pembangunan Bandar, Ng Mun Yen yang mendakwa kos sara hidup tinggi sebagai faktor penghijrahan warga Kuala Lumpur ke Selangor.

Katanya, Kerajaan Umno BN sepatutunya bertindak dengan menyediakan bantuan kepada rakyat secara lebih komprehensif dan holistik.

“Bukannya hanya bergantung dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sahaja.

“Apa yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan Umno BN dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyatnya? Contohilah Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan.

Rodziah berkata, Kerajaan Pakatan Harapan jelas berupaya untuk mentadbir negeri dan mengurus ekonomi dengan berkesan berteraskan prinsip kewangan yang berhemah, tatakelola yang baik dan prinsip ‘value for money’.

“Yang menjadi permasalahan buat rakyat negara ini ialah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dan sepatutnya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dihapuskan kerana Pakatan Harapan ada alternatifnya.

“Antaranya dengan membanteras rasuah dan kurangkan ketirisan, mengurangkan faedah hutang dan memperkenalkan cukai keuntungan.

“Tatakelola baik dan kecekapan pengurusan ekonomi serta masa hadapan rakyat yang terjamin adalah bergantung kepada kerajaan amanah serta sentiasa memberikan keadilan untuk rakyatnya,” katanya.

Semalam, Mun Yen berkata ramai penduduk Kuala Lumpur beranggapan ibu kota itu sudah tidak lagi sesuai untuk diduduki dan lebih suka tinggal di kawasan pinggir seperti di Selangor.

Terdahulu, kajian migrasi Jabatan Perangkaan 2016 menunjukkan Selangor sebagai negeri utama penerima migran, manakala negeri utama penghantar migran ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.=EZY=

Tiada ulasan: