Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu
Teksi Malaysia (Pers1m) berkata, semua pemandu Malaysia akan terjejas
jika syarikat insurans menaikkan premium bagi menangani risiko ditipu.
PETALING JAYA: Sebuah persatuan pemandu teksi mendakwa wujud sindiket di kalangan pemandu Uber dan Grab yang menuntut insurans dengan menipu punca kemalangan membabitkan kenderaan mereka.
Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Pers1m), Kamarudin Mohd Hussain berkata, sesetengah pemandu Uber dan Grab diajar menipu ketika mereka terbabit dalam kemalangan.
Beliau mendakwa modus operandi mereka ialah memadamkan aplikasi e-hailing dalam telefon bimbit selepas berlaku kemalangan untuk membuat tuntutan insurans kerana syarikat insurans tidak akan membayar pampasan jika sebuah kenderaan persendirian digunakan untuk tujuan komersial.
Semakan di laman web Grab mengesahkan syarikat itu tidak akan bertanggungjawab ke atas pemandunya yang terbabit dalam kemalangan.
Kamarudin berkata, penipuan sedemikian akan menekan syarikat insurans untuk mengenakan premium lebih tinggi bagi menangani risiko ditipu.
“Perkara ini satu Malaysia yang akan kena nanti dan ianya sangat tak adil,” katanya kepada FMT.
Kamarudin turut menggesa pemandu teksi biasa berhenti menyokong Uber atau Grab kerana ia hanya merugikan mereka apabila syarikat e-hailing itu mengabaikan mereka.
Beliau berkata, 2 syarikat e-hailing itu mungkin beralih kepada pemandu teksi biasa jika ramai pemandu mereka berhenti selepas kerajaan menghalalkan perkhidmatan itu dan melaksanakan peraturan yang mungkin menyusahkan pemandu mereka.
Beliau menjangkakan Uber dan Grab akan tertekan dan terpaksa mengambil pemandu teksi untuk menampung kekurangan mereka.
Pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 untuk mengawal selia perkhidmatan perkongsian kenderaan menggunakan aplikasi e-hailing dibentang di Dewan Rakyat pada April lalu dan dijangka dibentangkan untuk bacaan ke-2 pada bulan depan.
Di bawah pindaan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial 1987, kerajaan juga mahu memperkenalkan lesen perniagaan pengantaraan bagi mengawal selia perkhidmatan e-hailing sebagai kenderaan awam.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemandu teksi menggunakan aplikasi perkhidmaan e-hailing tempatan seperti EzCab.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan syarikat teksi tempatan yang menawarkan aplikasi perkhidmatan e-hailing merangka strategi untuk bersaing dengan Uber dan Grab.
“Syarikat teksi sepatutnya lebih bijak. Mereka sepatutnya buat promosi seperti apa yang Grab dan Uber buat sekarang. Ia akan menarik minat pelanggan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan