HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Jun 2017

PL1M beri anjakan ekonomi kepada penduduk luar bandar

Norshazlina Nor’azman

PI1M ditubuhkan bagi menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan ICT terutamanya perkhidmatan internet di kawasan luar bandar di mana capaian internet agak terhad, merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat dan komuniti serta menyediakan kelas dan latihan ICT kepada komuniti setempat


KUALA TERENGGANU: Tidak begitu banyak kedai menawarkan perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Petai Bubus, Manir di sini, menyebabkan Ahmad Rafizi Ramli, 31, bingung dan buntu memikirkan apa silapnya apabila kedai kecilnya itu tidak begitu dikunjungi orang ramai.

Apa tidaknya, pendapatan bersih pemuda ini hanya mampu mencapai RM500 sebulan, sedangkan sejumlah RM10,000 tunai telah dibelanjakannya sebagai kos memulakan perniagaan.

Namun itu cerita duka kira-kira dua tahun lepas ketika dia mula menjinak-jinakkan diri dalam perniagaan dan tidak tahu bagaimana hendak mempromosikan kedai miliknya.

Hinggalah pembukaan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di kampung berkenaan pada September 2015 yang benar-benar merubah segalanya.

Pendapatan Meningkat

Kedai miliknya yang menyediakan perkhidmatan membayar bil telekomunikasi, menjual tambah nilai prabayar, membaiki dan menjual aksesori telefon bimbit itu kini semakin dikenali penduduk sekitar dan mempunyai pelanggan tetap.

Pendapatannya pada hari ini boleh mencapai antara RM1,500 ke RM2,000 sebulan.

Mungkin jumlah itu dilihat tidak begitu tinggi bagi sesetengah kita, namun kewujudan PI1M benar-benar membantu transformasi ekonomi penduduk setempat terutamanya yang di luar bandar, selain membantu mereka menjana pendapatan tambahan.

Pada awal pembukaan PI1M di kampung itu, anak kedua dari tujuhadik beradik itu sering berkunjung ke pusat berkenaan bagi mempelajari teknik mempromosi perniagaannya melalui Internet.

“Saya mula meniaga pada Jun 2015 tetapi tidak begitu berjaya. Maka apabila PI1M dibuka tiga bulan kemudian, saya menyertainya sebagai ahli dan perlahan-lahan pendapatan saya bertambah sejak itu… ia banyak membantu saya dari segala aspek.

“Kalau dahulu saya tidak tahu cara untuk mempromosikan perniagaan, tetapi dengan adanya PI1M banyak perkara tentang kegunaan Internet saya belajar, terutamanya cara untuk promosikan melalui media sosial,” katanya kepada pemberita dalam lawatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sempena program ‘Train the Trainer’ baru-baru ini.

Pemegang sijil kemahiran dalam Pemasangan Pendawaian Bangunan dari Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) itu berkata kunjungannya kini ke PI1M tidak lagi sekerap dahulu setelah mampu membeli komputer untuk kegunaan di kedainya.

Program ‘Train the Trainer’ dijalankan bagi memberi pendidikan dan melatih Pengurus dan Pembantu Pengurus PI1M bagi mengawal selia pusat di bawah seliaan mereka agar sentiasa relevan dan dilengkapi dengan program dan latihan yang terkini.

Manfaat untuk semua

Begitupun, PI1M bukan hanya menumpukan kepada usahawan semata-mata. Murid dan pelajar sekolah serta jwarga emas tidak ketinggalan mendapat manfaatnya.

Misalnya, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah, Nur Amrienaa Syazwanie Mohd Azman, kini semakin celik asas ilmu Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), termasuklah mahir menggunakan emel, Microsoft Words dan Power Point.

“Dahulu saya hanya tahu guna komputer sikit-sikit sahaja… abang yang ajar. Di PI1M ini saya belajar banyak perkara dan sertai pelbagai kelas dan acara berkaitan ICT… malah saya ke sini untuk ulangkaji pelajaran menggunakan internet,” katanya.

Sementara itu, Pengurus PI1M Kampung Petai Bubus, Mohd Amri Billah Mamat Ali, 31, berkata ramai lagi usahawan setempat berjaya meningkatkan jualan dan ekonomi masing-masing, hasil dorongan pusat komuniti internet berkenaan.

“Sejak penubuhan, nampak begitu banyak kemajuan… ramai yang sudah berjaya termasuklah perniagaan kerepek seperti ubi, pisang, produk kecantikan, kesihatan dan aksesori kereta,” katanya.

Urusan lebih mudah

Pusat berkenaan menjadi tumpuan penduduk setempat seawal usia lima tahun hinggalah warga emas berumur 60 tahun.

Sejak adanya pusat berkenaan, urusan penduduk menjadi lebih mudah kerana tidak perlu lagi ke bandar untuk membuat pelbagai pembayaran atau aktiviti perbankan. Kini semuanya di hujung jari mereka.

Malah kata graduan Sarjana Muda Perniagaan Universiti Putra Malaysia itu, terdapat lima WiFi komuniti dengan kelajuan minimum 4mpbs disediakan percuma di kampung tanpa wayar bagi kegunaan penduduk kampung.

“Ramai pelajar sekolah datang ke sini untuk selesaikan kerja sekolah selain menonton Youtube… jadi mereka tidak melepak tanpa hala tuju… dan ramai orang dewasa datang untuk mengisi borang secara ‘online’ seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Selain itu sebulan sekali kita jalankan kelas keusahawanan untuk penduduk meningkatkan pendapatan dan kita juga membantu mereka dengan mempromosikan produk mereka di dalam laman web dan Facebook,” katanya.

Antara kelas keusahawanan yang diadakan ialah bagi memulakan perniagaan, pemasaran dalam talian, seminar menjana pendapatan serta bengkel asas pemasangan dan penyelenggaran komputer.

“Latihan  ICT juga dijalankan dua bulan sekali antaranya mengenai asas komputer dan internet, Microsoft Office, latihan asas media baharu, E-Pembelajaran dan E-Prasekolah,” katanya sambil menambah, jumlah keahlian berdaftar ialah 331 orang, di mana setiap bulan minimum sepuluh ahli baharu berdaftar.

Yuran murah

Dalam pada itu Pengarah Kanan, Bahagian Advokasi dan Jangkauan SKMM, Eneng Faridah Iskandar berkata PI1M Kampung Petai Bubus adalah antara satu daripada 758 PI1M (setakat April 2017) yang telah dilaksanakan oleh SKMM di seluruh negara sejak 10 tahun lepas.

PI1M ditubuhkan bagi menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan ICT terutamanya perkhidmatan internet di kawasan luar bandar di mana capaian internet agak terhad, merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat dan komuniti serta menyediakan kelas dan latihan ICT kepada komuniti setempat.

Yuran yang dikenakan cukup murah. Dengan hanya membayar RM5 untuk mendaftar sebagai ahli seumur hidup dan bayaran sebanyak RM1 sejam bagi menggunakan Internet, sesiapa sahaja boleh menggunakan segala perkhidmatan di PI1M.

Manakala, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh mengakses internet secara percuma.
“Tidak semestinya tiada penembusan Internet di sesetengah kawasan luar bandar tetapi ada penduduk sendiri yang tidak mahukannya kerana mungkin beranggapan Internet tidak penting… maka dengan adanya PI1M ini dapatlah kita memperkenalkan internet kepada mereka dan moga timbul keinginan untuk menggunakannya.

“Bukan sahaja mereka dapat gunakan perkhidmatan perbankan melalui internet seperti mereka di bandar besar, malah mereka boleh mempromosi produk keluaran mereka di luar… mana tahu hingga ke pasaran luar negara,” katanya.- bernama

Tiada ulasan: