Oleh Ainor Rahim
KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli perlu menjelaskan apa sudah jadi dengan
laporan yang dibuatnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) berhubung dakwaan rasuah seks dan wang membabitkan pegawai
Pejabat menteri Besar Selangor.
Lazimnya, Rafizi akan menggali dan mendedahkan sebanyak mungkin
maklumat salahguna kuasa atau wang yang diperolehinya, namun tidak kali
ini, kata Chegubard.
"Saya cuba meyakinkan diri saya bahawa laporan yang Rafizi lakukan
punya asas dan bukti seperti mana yang sering dilakukan sebelum ini.
Namun kenapa beliau sendiri senyap dan tidak melakukan pendedahan?
"Apa pula tindakan parti mengenai kewujudan korupsi termasuk rasuah
seks dalam Pejabat MB yang dikuasai PKR itu sendiri? Ramai yang sangat
kecewa dengan Rafizi kerana tidak mendedahkan korupsi ini habis habisan
seperti yang dilakukan sebelum ini," katanya dalam sidang media sebentar
tadi.
Rafizi sebelum ini hadir ke SPRM bagi membantu siasatan dakwaan
kononnya terdapat permintaan habuan wanita seksi dan wang dalam urusan
dengan kerajaan negeri Selangor.
Rafizi berkata tindakan membuat laporan kepada SPRM dibuat selepas diarahkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Chegubard berkata apa jua perkembangan, rakyat mahu tahu dan menjadi tanggungjawab Rafizi menjelaskan isu itu.
Chegubard yang juga ahli PKR yang digantung itu turut mempersoalkan
adakah isu itu merupakan dakwaan terpilih dan tidak akan didedahkan
Rafizi.
"Adakah beliau melihat korupsi ini punya 'kasta' iaitu yang dilakukan
musuh perlu dilawan tetapi yang dilakukan orang dalam PKR perlu
disenyapkan," katanya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menyifatkan tuduhan Rafizi
itu sebagai fitnah terancang selain mempunyai niat terselindung.
"Menuding jari kepada kerajaan negeri tanpa sebarang bukti sokongan dan
kemudiannya menjaja tuduhan tersebut kepada semua pihak adalah satu
tindakan bacul, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat," kata Azmin.
Tuduhan rasuah seks dan wang dalam pentadbiran Azmin bermula selepas
perbualan Rafizi menerusi aplikasi Whatasapp didalam 'group' pemimpin
PKR tersebar di media sosial.
Rafizi mengaku menulis mesej berkenaan yang mendakwa terdapat habuan
wanita dan wang dalam urusan pentadbiran kerajaan PKR Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan