KUALA LUMPUR: Sebanyak 638 kemalangan termasuk satu kematian direkodkan
sepanjang tiga hari pertama Op Selamat 11 dilaksanakan di ibu kota
sempena perayaan Aidilfitri.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata jumlah
kemalangan itu mencatatkan penurunan berbanding 664 kes bagi tempoh sama
tahun lepas.
"Walaupun operasi ini baru tiga hari dilaksanakan, tetapi ia telah
menunjukkan perkembangan yang positif dengan pengurangan sebanyak 26 kes
berbanding tahun lepas...harap jumlah kes sepanjang ia (operasi)
dijalankan mencatatkan penurunan," katanya kepada pemberita selepas
melancarkan Kempen Op Selamat 11 peringkat Kuala Lumpur di sini, hari
ini.
Mazlan berkata pihaknya telah menempatkan 772 anggota dan pegawai bagi memastikan kelancaran operasi.
"Daripada jumlah itu, 320 anggota trafik dikerahkan bagi menjaga lalu
lintas, manakala selebihnya ditugaskan bagi meronda kawasan perumahan
di sekitar Lembah Klang.
"Kita juga menggerakkan 129 kereta peronda dan 176 motosikal Unit Ronda
Bermotosikal (URB) sepanjang Op Selamat ini berlangsung," katanya.
Beliau berkata dengan kehadiran polis yang melakukan rondaan di kawasan
perumahan, ia secara tidak langsung dapat menangani jenayah seperti
pecah rumah dan curi pada musim perayaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan