HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Jun 2017

Selangor ugut batal keistimewaan PR1MA dan PPA1M

Berita Daily Staff

Jika kerajaan persekutuan tidak bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dalam menyelesaikan kemelut pembinaan perumahan di negeri itu dan berterusan menuding jari

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor mengugut untuk membatalkan keistimewaan terhadap Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) jika kerajaan persekutuan terus bermain politik, kata Iskandar Abdul Samad, Exco Perumahan Pengurusan Bangunan dan Kehidupan.

Jelasnya, kerajaan persekutuan dilihat tidak seiring dengan kerajaan negeri itu dalam beberapa isu termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Permai, Lembah Subang.

“Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam isu-isu perumahan tetapi Kerajaan Pusat mengambil sikap berkonfrontasi di dalam beberapa isu seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Permai, Lembah Subang.

“Kerajaan Negeri mahu sentimen politik diketepikan di dalam isu-isu yang melibatkan kebajikan rakyat seperti perumahan. Tetapi Kerajaan Pusat terutamanya Menteri yang terlibat dilihat lebih suka bermain politik,” katanya menerusi kenyataan media.

Sebelum ini Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) didakwa gagal menguruskan perumahan itu dengan baik.

Kemudian Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhasrat untuk mengambilalih projek itu.

Menteri Besar Selangor seterusnya menyuarakan kesediaan kerajaan negeri tersebut untuk menyerahkan pengurusan PPR Lembah Subang 1, tersebut kepada Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun KPKT perlu meneliti pelbagai aspek termasuk kos yang dibelanjakan sejak 16 tahun lalu.

Kerajaan pusat perlu membayar balik segala kos bernilai RM60.6 juta yang ditanggung MBPJ sebelum ini termasuk kos penyelenggaraan bangunan, kebersihan serta menyelia kesemua lif melibatkan lapan blok PPR itu.

Tambah Iskandar, jika kerajaan persekutuan tidak menyelesaikan kemelut sebaliknya menuding jari kepada Selangor, kerajaan negeri nekad untuk melaksanakan pembekuan permohonan untuk peningkatan kepadatan daripada PR1MA dan PPA1M.

Ujar beliau pembatalan ini bertujuan untuk pematuhan syarat Rancangan Tempatan (RT) Pihak Berkuasa Tempatan di negeri itu dalam membina projek perumahan.

“Cadangan pembatalan ini akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan sehingga keputusan dibuat semua permohonan untuk peningkatan kepadatan daripada PR1MA dan PPA1M akan dibekukan.

“Perkembangan ini bukan bertujuan untuk menghalang PR1MA atau PPA1M dari melaksanakan projek di Negeri Selangor. Sebaliknya mereka dialu-alu untuk membina rumah di Selangor tetapi perlu mematuhi syarat-syarat seperti yang digariskan di dalam Rancangan Tempatan (RT) Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing. Hanya Rumah Selangor diberikan keistimewaan untuk meningkatkan kepadatan pembangunan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: