HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Jun 2017

JPJ keluar 72 saman Op Hari Raya di Pahang

Bernama

Kebanyakan saman tersebut membabitkan kesalahan yang dilakukan penunggang motosikal iaitu 54 saman diikuti 18 saman kepada pemandu kereta

KUANTAN: Sebanyak 72 saman pelbagai kesalahan telah dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Op Hari Raya 2017 yang dijalankan di empat lokasi di seluruh Pahang malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata kebanyakan saman tersebut membabitkan kesalahan yang dilakukan penunggang motosikal iaitu 54 saman diikuti 18 saman kepada pemandu kereta atas kesalahan tidak mempunyai lesen dan cukai jalan serta pelbagai kesalahan lain.

“Kami juga menyita sebuah motosikal yang tidak mempunyai cukai jalan. Dalam masa yang sama pihak Agensi Antidadah Kebangsaan turut menahan empat penunggang dan pembonceng motosikal berusia 16 hingga 47 tahun yang positif ujian dadah,” katanya di sini malam tadi.

Beliau yang ditemui pemberita selepas Op Hari Raya 2017 di Jalan Teluk Sisek berkata dalam operasi bermula 10 hingga 12 malam itu, pihaknya memeriksa 875 kenderaan di empat lokasi di negeri ini iaitu Muadzam Shah, Temerloh, Raub dan Kuantan.

Operasi bersepadu itu, katanya turut disertai Polis Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Jabatan Alam Sekitar .

Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata seramai 3,128 anggota JPJ terlibat dengan Op Hari Raya Aidilfitri yang bermula 18 Jun hingga 2 Julai.— Bernama

Tiada ulasan: