HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Jun 2017

Tak boleh masjid, Muhyiddin boleh anjur program di rumahnya

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh menggunakan rumahnya sendiri sebagai lokasi menganjurkan majlis berbuka dan menyampaikan sumbangan sempena Ramadan.
 
ADUN Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminnurashid Tengku Abdul Hamid berkata demikian mengulas kekecewaan Muhyiddin berikutan pengurusan sebuah masjid di Pagoh tidak membenarkan program anjurannya.
 
Malah beliau meminta mana-mana pihak tidak mensensasikan perkara ini dan mengaitkannya dengan politik.
 
"Kita boleh buat di balai raya, dewan, malah saya sendiri kadang-kala buat di rumah saya.
 
"Tak perlu sensasikan perkara ini, kita hendak beri bantuan kepada orang yang memerlukan. Bukan isu besar, adakah jika tidak buat di surau atau masjid maka beliau tidak boleh sampaikan bantuan?," soal beliau ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Semalam Muhyiddin dilaporkan tidak dibenarkan mengadakan majlis berbuka puasa dan bantuan Ramadan di Masjid An-Nur Pekan Kundang Ulu, Tangkak.
 
Pihak pejabat kadi daerah dan ahli jawatankuasa masjid tersebut didakwa tidak membenarkan majlis berkenaan diadakan, yang dijadualkan pada esok.
 
Terkilan dengan keadaan tersebut, Muhyiddin kemudiannya menukar lokasi majlis itu di perkarangan sebuah rumah penduduk di Pekan Kundang Ulu.
 
Mengulas hal itu, Tengku Putra berkata beberapa prosedur perlu dipatuhi sebelum menggunakan sebarang tempat untuk menganjurkan sesuatu majlis - meskipun individu yang memohon itu adalah pemimpin politik atau wakil rakyat.
 
Beliau juga meminta rakyat tidak menuduh wujudnya agenda politik terhadap apa yang berlaku kepada Muhyiddin.
 
"Kena dapatkan persetujuan atau keizinan daripada pihak masjid, iaitu Pengerusi Jawatankuasa. Ia tidak ada kena mengena dengan politik. Saya sendiri, sebagai wakil rakyat Umno, pernah minta kebenaran sebuah dewan untuk memanggil Tengku Razaleigh (untuk sebuah program). 
 
"Kemudian disaat-saat akhir pihak dewan membatalkan permohonan saya. Saya terpaksa akur dan tukar ke tempat lain. Walaupun ketika itu saya sebagai pemimpin bahagian. 
 
"Maka kita tak perlu merungut kerana sudah tentu ada peraturan, ia tidak ada kena-mengena dengan politik. Keputusan itu dibuat oleh pengerusi masjid atau surau," ujarnya.
 
Menerusi surat bertarikh 31 Mei itu yang ditandatangani oleh Kadi Daerah Tangkak, Mohd Nasri Rahman menyatakan keputusan itu diambil ekoran AJK Masjid An-Nur tidak bersetuju memberi kebenaran kepada Muhyiddin.
 
Alasan yang diberikan adalah untuk menghormati “kepentingan semua pihak”.
 
 

Tiada ulasan: