HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Jun 2017

Tun Mahathir hanya sesuai jadi penasihat, bukan perdana menteri

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad hanya sesuai setakat menjadi penasihat dan tidak lagi relevan untuk menjadi perdana menteri, kata bekas pemimpin PKR Sabah, Datuk Dr Jeffrey Gapari Kitingan.
 
Beliau berkata demikian mengulas pendirian Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang bersedia untuk kembali menjadi perdana menteri, jika diminta berbuat demikian oleh Pakatan Harapan (PH).
 
"Tun Mahathir memang seorang yang bijak, dan dia telah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun maka dia sudah bersara. Saya percaya dia masih boleh berikan nasihat, tapi untuk jadi Perdana Menteri agak susah sikit.
 
"Mungkin zaman ini sudah berubah, bukan zaman dia lagilah," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Pandangan Jeffrey itu dilihat senada dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semalam bahawa Dr Mahathir tidak lagi sesuai untuk menjadi perdana menteri berikutan sudah melepasi zamannya.
 
Menurut Amar, lebih ramai lagi calon yang lebih sesuai dan muda boleh diketengahkan oleh PH untuk menjadi perdana menteri seiring dengan peredaran pentadbiran negara.
 
Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, beliau khuatir sekiranya Dr Mahathir  sekali lagi menjadi perdana menteri peristiwa rakyat Sabah ditindas akan berulang seperti ketika pemimpin itu memerintah negara selama 22 tahun. 
 
"Bagi kami di Sabah, kita tidak mahu kembali ke zaman Tun Mahathir di mana kita tidak boleh bersuara dan atas sebab tidak dipedulikan sama sekali malah orang asing dijadikan alat politik.
 
"Jadi ini semua akan kembali dan kita takut ini akan berlaku jika dia menjadi perdana menteri lagi, jadi bagi kami tak payah lah dia jadi perdana menteri, cukup jadi penasihat," ujarnya lagi.
 
"Saya percaya semua bekas-bekas perdana menteri perlu menjadi penasihat dan diberikan peranan-peranan tertentu yang boleh memberikan manfaat kepada negara," katanya.
 
Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau akan mempertimbangkan jika ada pemimpin dalam PH memintanya untuk kembali menjadi perdana menteri.
 
Beliau berkata demikian ketika diwawancara secara langsung menerusi aplikasi Facebook LIVE, baru-baru ini.
 
 

Tiada ulasan: