HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Jun 2017

PRK DUN Nenggiri tak perlu diadakan - MB Kelantan

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob akan merujuk kepada Speaker DUN, Datuk Abdulah Ya'kub untuk menentukan keperluan mengadakan pilihan raya kecil DUN Nenggiri atau sebaliknya.
 
Beliau berkata bahawa perkembangan yang berlaku itu disebabkan oleh ADUN Nenggiri dari Barisan Nasional (BN) Datuk Mat Yusoff Abd Ghani hilang kelayakan memegang jawatan tersebut selepas diisytiharkan muflis sekali gus menjadikan kerusi itu kosong.
 
"Apabila kita menerima surat dari Jabatan Insolvensi yang memaklumkan bahawa beliau sudah muflis maka dengan sendirinya speaker telah membuat pengumuman tentang kekosongan DUN tersebut.
 
"Sebabnya, sebagai seorang yang muflis, beliau sudah tidak layak lagi menyandang jawatan tersebut.
 
"Pada saya, mengikut peraturan biasa speaker hendaklah membuat pengisytiharan dan menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya kepada Antarapos.
 
SPR pula akan menyerahkan kepada Abdulah selaku Speaker DUN Kelantan untuk menentukan sama ada ingin mengadakan pilihan raya kecil Dun Nenggiri atau sebaliknya.
 
Bagaimanapun Ahmad berkata, pilihan raya kecil DUN Nenggiri tidak perlu diadakan berikutan sudah mencapai mandat selama tiga tahun DUN berkenaan bersidang selepas pilihan raya umum lalu.
 
"Amalannya, selepas tiga tahun  tidak perlu diadakan pilihan raya.
 
"Walau bagaimanapun,  terpulang kepada SPR," katanya.
 
Justeru Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan Speaker DUN Kelantan bagi membincangkan perkara itu.
 
"Saya rasa mengikut amalan biasa mungkin tidak akan diadakan pilihan raya namun begitu kena rujuk kepada speaker kerana speaker yang membuat pengumuman tersebut," katanya.
 
Kata Ahmad lagi, amalan serta prosedur itu adalah sejajar dengan Artikel 54(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa suatu PRK hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun.
 
"... dan amalan biasa tidak akan diadakan pilihan raya, biasanya begitulah mengikut pendapat saya," katanya.
 
 

Tiada ulasan: