HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Jun 2017

Tun Mahathir kena menang PRU14 dulu sebelum cakap soal jadi PM sekali lagi [TONTON VIDEO]

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir perlu menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dahulu sebelum mempertimbangkan untuk kembali menjadi perdana menteri, ujar Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
 
Beliau berkata demikian mengulas kesediaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyandang jawatan itu jika disuruh pemimpin PH untuk berbuat demikian.
 
"Minta dia (Tun Mahathir) menang dahulu Pilihan Raya Umum akan datang," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Program Iftar@KL semalam.
 
Mas Ermieyati berkata Dr Mahathir dialu-alukan untuk bertanding di mana-mana kerusi pada PRU14 akan datang dan menentang Umno Barisan Nasional (BN).
 
Pun begitu, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia itu berkata Dr Mahathir perlu mendapat persetujuan daripada parti komponen PH yang lain, untuk mendapatkan kerusi bagi membolehkannya bertanding kelak. 
 
"Kena tanya Pakatan Harapan (PH), PPBM mana nak letak Tun M bertanding. Dia kan bekas  perdana menteri, mungkin dia boleh pergi mana-mana," katanya.
 
Dr Mahathir dalam wawancara secara langsung menerusi Facebook LIVE berkata akan mempertimbangkan jika ada pemimpin dalam PH memintanya untuk kembali menyandang jawatan yang pernah disandangnya selama 22 tahun itu sekiranya pembangkang berjaya menawan Putrajaya kelak.
 
Dr Mahathir sebelum ini bertegas, nama calon perdana menteri tidak boleh diumumkan sekarang berikutan tidak mahu ada yang kecewa, sekaligus mendedahkan PH kepada krisis dalaman yang teruk.
 
Sebelum PPBM menyertai PH, PKR, DAP dan Amanah sebulat suara mahukan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.  
 
Anwar ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini berkata jika mendapat persetujuan konsensus PH, Dr Mahathir boleh dicalonkan untuk jawatan itu.
 
 
 

Tiada ulasan: