Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM),
Azmi Hassan percaya masih wujud keraguan di kalangan parti-parti Pakatan
Harapan (PH) meskipun wujudnya kerjasama politik di antara mereka.
Merujuk kepada kenyataan terbaru Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim, Azmi berkata pembangkang tidak boleh menolak hakikat kegusaran
penguasaan Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam gabungan pembangkang itu.
"Kenyataan tersebut menggambarkan syak wasangka parti di dalam PH yang
asal iaitu PKR dan DAP terhadap PPBM. Tetapi PH akur bahawa mereka
memerlukan PPBM, ataupun memerlukan Dr Mahathir.
"Sebab mereka boleh beri peranan di dalam PH, namun agak terhad dan
terkekang supaya nampak ada peranan Dr Mahathir atau PPBM di dalam PH,"
katanya kepada Antarapos, hari ini.
Azmi mengulas kenyataan Anwar pada Sabtu lalu yang menolak usul PPBM
untuk parti itu menguasai dua jawatan penting PH, iaitu Pengerusi dan
Presiden.
Meskipun bersetuju bahawa Dr Mahathir perlu diberikan peranan
sewajarnya di dalam PH, namun Anwar mahu cadangan penguasaan
jawatan-jawatan itu oleh PPBM dikaji semula.
Namun difahamkan PPBM bersetuju untuk menyerahkan jawatan Presiden
kepada PKR, dan ia mahu jawatan pengerusi diberikan kepada Dr Mahathir.
"Di dalam PH ada dua kelompok, iaitu antara DAP dan PKR, manakala satu
lagi kelompok adalah PPBM. Di dalam kelompok ini sedar mereka saling
memerlukan namun tahap kepercayaan belum boleh diletakkan 100 peratus,"
jelas Azmi.
Sementara itu mengulas penegasan Anwar bahawa pengerusi hanya bertindak
sebagai penyelaras gagasan, Azmin sekali lagi menyifatkan keraguan
pemimpin PKR itu ada asasnya.
Begitu juga keperluan utnuk mengekalkan tradisi musyawarrah dan
konsensus seperti Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini di mana semua ketua
parti mempunyai kedudukan yang sama-rata.
"Tujuan diadakan cadangan tersebut supaya semua parti sama rata. Keran
khuatir PPBM yang mempunyai dua, tiga tokoh politik menandingi ketokohan
PKR dan DAP.
"PPBM mempunyai ikon politik tersendiri. Jika kita baca cadangan Anwar
adalah khusus untuk mengekang ikon atau 'champion' politik dari PPBM.
Sebab itu kita lihat mereka masih memerlukan satu sama lain, namun
bagaimana PH dapat mengekang kemunculan PPBM di dalam PH.
"Sebab itu saya katakan banyak cadangan tersebut lebih menjurus kepada
PH mahu menggunakan PPBM, tetapi tidak mahu PPBM mengawla
segala-galanya," katanya.
Sabtu lalu, Anwar dalam satu kenyataannya melalui ibu pejabat PKR
menyatakan bahawa beliau bersetuju sekiranya Pengerusi PPBM, Tun Dr
Mahathir Mohamad diberikan peranan penting dalam PH, namun menolak
penguasaan PPBM dalam jawatan pengerusi dan presiden dalam gagasan itu.
Parti komponen PH kini dikatakan bertelagah mengenai struktur
organisasi baru pakatan itu selepas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail tidak diberikan jawatan utama dan sekadar menjadi
timbalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan