PUTRAJAYA: Kabinet hari ini bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan
Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing Bank
Negara Malaysia (BNM) sekitar 1980-an dan 1990-an.
Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan hari ini, berkata
keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan Pasukan Petugas Khas
(PPK), yang diberi mandat untuk membentangkan hasil laporan mereka
selepas tiga bulan.
"Dalam laporan itu, PPK mendapati wujud kes 'prima facie' bagi kerugian
BNM sekitar 1980-an dan 1990-an dan mencadangkan penubuhan RCI bagi
melakukan siasatan terperinci lagi menyeluruh berdasarkan lunas
perundangan dan dilindungi di bawah Akta 119.
"Penubuhan RCI juga bertujuan menjaga kepentingan awam, yang mana
kerugian sebenar BNM akibat urus niaga mata wang asing membabitkan rizab
negara dapat dipastikan.
"Ini kerana siasatan awal PPK mendapati jumlah kerugian adalah lebih
besar saripada apa yang dilaporkan kepada Kabinet dan Parlimen.
"PPK juga mendapati terdapat elemen menyembunyikan fakta sebenar
kerugian dengan mengemukakan maklumat yang bertujuan mengelirukan
Kabinet dan Parlimen," katanya.
Sehubungan itu, mengikut kenyataan akhbar yang sama, Kabinet sebulat
suara bersetuju dengan syor PPK bahawa terdapat keperluan menubuhkan RCI
bagi membolehkan siasatan mengenai kerugian BNM sekitar 1980-an dan
1990-an diteruskan, sekali gus diharap mampu merungkai isu yang
membelenggu negara sejak 23 tahun lalu.
Kerajaan juga berterima kasih kepada Pengerusi PPK, Tan Sri Sidek
Hassan dan ahlinya serta Sekretariat PPK di Kementerian Kewangan, yang
memberi komitmen penuh dalam menjalankan siasatan awal berkenaan
kerugian terbabit dengan telus, bebas lagi adil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan