HALAMAN SANTAI

Jumaat, 9 Jun 2017

Zaid Ibrahim cadang PPBM pimpin Pakatan Harapan

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mencadangkan Pakatan Harapan (PH) supaya memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengetuai gagasan berkenaan.
 
Menulis di Twitter, bekas menteri undang-undang itu meragui kemampuan PKR untuk memimpin PH, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
 
“PKR boleh jadi bijak dan membenarkan BERSATU memimpin pilihan raya umum ke-14 atau terus meratap sugul.
 
“DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) boleh jadi realistik, atau mereka boleh terus tenggelam dalam fantasi.
 
“Ini hari penentuan untuk mereka juga,” demikian memetik tulisannya.
 
Sebelum ini PPBM dilaporkan mahu mengangkat Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PH, diikuti Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden PH.
 
Media juga melaporkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Penasihat PH di dalam struktur kepimpinan gagasan pembangkang itu.
 
PPBM juga mencadangkan jawatan Timbalan Pengerusi PH disandang oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula sebagai timbalan presiden PH.
 
Manakala Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu dinamakan sebagai naib presiden PH.
 
Bagaimanapun memetik sumber laporan Malay Mail Online, DAP dan Amanah didakwa tidak selesa dengan cadangan dari PPBM itu.
 
 

Tiada ulasan: