HALAMAN SANTAI

Jumaat, 9 Jun 2017

Satu akaun ditutup, masih ada tiga akaun Najib di AmBank, kata Rafizi

 MALAYSIA DATELINE

Rafizi Ramli


Tindakan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hasan yang muncul menafikan laporan Sarawak Report berhubung pembayaran RM9.5 juta dari akaun perdana menteri kepada peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah menimbulkan lebih banyak persoalan sedangkan dua individu terbabit mengambil sikap berdiam diri.

Naib presiden PKR Rafizi Ramli berkata, sejak Sarawak Report menyiarkan berita sejumlah RM9.5 juta telah dipindahkan dari akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak kepada Shafee, tidak ada satu kenyataan pun dibuat Perdana Menteri mahupun peguam itu.

"Dua hari lalu saya telah mendedahkan pula bagaimana dalam tahun 2011, Datuk Seri Najib telah menggunakan dana awam 1MDB yang dipindahkan ke akaun beliau untuk membayar peguam-peguam yang mewakili beliau untuk mengenepikan sapina hadir memberi keterangan di dalam perbicaraan kes liwat yang dituduh terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pendedahan saya itu berdasarkan satu dokumen yang didakwa adalah kertas siasatan SPRM yang dibocorkan di laman SPRMInsider. Maklumat yang terkandung di dalam kertas siasatan SPRM itu juga telah disahkan benar dan tepat oleh peguam kanan yang diambil keterangan oleh SPRM. Pengesahan peguam kanan tersebut mengiyakan bahawa pandangan umum bahawa kertas siasatan SPRM itu adalah benar dan sahih," tegas Rafizi.

Beliau menambah, sehingga kini tiada sebarang kenyataan dari Najib mengenai butiran siasatan ke atas beliau yang terkandung di dalam kertas siasatan itu, khususnya berhubung penggunaan dana 1MDB untuk membayar peguam-peguamnya di dalam kes liwat 2 Anwar.

Sehubungan itu ahli parlimen Pandan itu terkejut apabila Musa membuat sidang media khas semalam mendakwa akaun Najib telah ditutup sebelum bayaran dibuat kepada Shafee.

Menurut Rafizi, adalah sesuatu yang memalukan apabila Perdana Menteri dan peguam kanannya tidak mempertahankan diri mereka secara berdepan; sebaliknya pesara seperti Musa terpaksa tampil membela membela mereka.

Bagaimanapun Rafizi menyifatkan kenyataan media Musa semalam sebagai memalukan kerana tidak teliti dengan butiran-butiran siasatan sehingga tersalah fakta.

Oleh itu beliau mengemukakan bukti balas bagi menolak hujah bahawa akaun Najib telah ditutup sebelum bayaran dibuat.
Menurut Rafizi, kertas siasatan SPRM pada muka surat 9 dan 10 secara jelas memperincikan tiga akaun baru telah dibuka bagi menggantikan akaun Najib yang ditutup pada 31 Ogos 2013.
Tiga akaun baru itu, jelas beliau masih beroperasi dalam tempoh September 2013 hingga Februari 2014 iaitu tarikh-tarikh bayaran dibuat kepada Shafee.

Kronologi tindakan menutup akaun, membuka akaun baru dan memindahkan dana, seperti yang diperincikan di dalam kertas siasatan SPRM, adalah seperti berikut:

i. Akaun asal yang digunakan Najib untuk menerima pemindahan wang yang besar dibuka dalam pada 13 Januari 2011 dengan no akaun 2112022009694 atas nama beliau sendiri di AmIslamic Bank Berhad di Ambank Jalan Raja Chulan (dirujuk sebagai Akaun - 9694).
ii. Dalam tahun 2011, sebanyak RM304,329,765.75 dana dari luar negara dimasukkan ke Akaun - 9694 ini.
iii. Dalam tahun 2012, sebanyak RM831,789,454.53 dana dari luar negara dimasukkan ke Akaun - 9694.
iv. Dalam tahun 2013, sebanyak RM2,081,476,926.00 dana dari luar negara dimasukkan ke Akaun - 9694.
v. Jumlah terkumpul dana yang dimasukkan ke Akaun - 9694 di antara 2011 dan 2013 ialah RM3,217,596,146.28 sebelum sejumlahnya mula dipindahkan balik ke luar negara.
vi. Di antara 2 Ogos 2013 hingga 23 Ogos 2013, wang dari Akaun -9694 telah dipindahkan beransur-ansur dalam 5 pindahan dengan jumlah setiap pindahan di antara USD55 juta ke USD200 juta. Jumlah keseluruhan yang dipindahkan keluar negara adalah USD620 juta; bersamaan RM2,034,350,000.
vii. Sebelum penutupan Akaun -9694 dibuat pada 31 Ogos 2013, ada tiga akaun baru yang dibuka atas nama Dato’ Seri Najib pada 31 Julai 2013; iaitu AmPrivate Banking 2112022011880 (“Akaun -1880”), AmPrivate Banking 2112022011898 (“Akaun -1898”) dan AmPrivate Banking 2112022011906 (“Akaun -1906”).
viii. Sebelum Akaun - 9694 ditutup, bakinya (selepas pemindahan wang sebanyak RM2.034 bilion seperti diterangkan di atas) sebanyak RM162,436,711.80 telah dipindahkan ke Akaun -1880 yang baru dibuka.
ix.  Antara 27 Ogos 2013 hingga 26 Mac 2014,  Najib memindahkan pula sejumlah RM160 juta dari Akaun - 1880 ke Akaun - 1906 dan Akaun - 1898.

Menurut Rafizi, ketiga-tiga Akaun 1880, 1906 dan 1898 adalah akaun-akaun yang sama yang terkandung di dalam carta aliran dana wang SRC International Sdn Bhd yang mengalir ke akaun Najib yang ditunjukkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali.

Dapatan di atas, katanya membuktikan bahawa;

1. Wujud tiga akaun yang digunakan Najib di antara September 2013 hingga Februari 2014 ketika bayaran RM9.5 juta dibuat kepada Tan Sri Shafee, iaitu Akaun 1880, 1906 dan 1898, dan bayaran RM9.5 juta itu boleh datang dari mana-mana akaun ini.
2. Akaun-akaun 1880, 1906 dan 1898 itu dibuka sebelum akaun awal iaitu Akaun 9694 ditutup.
3. Sejumlah RM162,436,711.80 dari dana 1MDB yang dimasukkan ke Akaun 9694 telah dimasukkan pula ke dalam akaun-akaun yang baru dibuka ini.
4.  Semasa membuka tiga akaun baru ini, wakil Najib yang membuka akaun-akaun itu memaklumkan bank bahawa akaun-akaun ini digunakan bagi tujuan berasingan iaitu untuk dana politik, yayasan dan satu lagi untuk lain-lain.
5.  Ketiga-tiga akaun ini (yang dibuka selepas akaun awal ditutup) juga disiasat oleh SPRM kerana telah menerima dana dari SRC International Sdn Bhd dan digunakan untuk membayar perbelanjaan peribadi Najib bagi tujuan membeli belah dan kempen politik.

"Bukti-bukti yang dikemukakan adalah terlalu kukuh. Alasan yang cuba diketengahkan dengan menggunakan Tan Sri Musa Hassan juga memalukan kerana jelas ia tidak benar.

"Sampai bila Datuk Seri Najib akan berdiam diri dan mengelak dari menjawab bukti-bukti yang datang dari dokumen yang dipercayai kertas siasatan SPRM sendiri?" soal Rafizi.

Tiada ulasan: