SPRM sebagai sahabat kepada seluruh warga peneroka Felda akan sentiasa melaksanakan tugas dan amanahnya.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan memastikan segala peruntukan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan buat warga peneroka
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan sampai kepada mereka serta tidak tiris atau diseleweng mana-mana pihak.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad berkata, agensi anti rasuah itu juga memohon sokongan dan dokongan seluruh warga peneroka Felda agar sentiasa bersama SPRM sebagai pencetus gelombang perubahan dalam kalangan masyarakat bagi memerangi anasir rasuah dan salah guna kuasa.
“SPRM juga yakin bahawa Felda di bawah pengurusan baharu yang telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pada 9 April lalu akan turut sama melindungi dan menjaga kepentingan warga peneroka Felda dengan melaksanakan segala perancangan penerokaan dan pembangunan tanah secara berintegriti.
“Ini bagi memastikan agar ia bebas daripada sebarang jenayah rasuah dan salah guna kuasa,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.
Dzulkifli berkata, SPRM sebagai sahabat kepada seluruh warga peneroka Felda akan sentiasa melaksanakan tugas dan amanahnya.
“Warga peneroka Felda harus berada di barisan hadapan bersama SPRM bagi membenci, menolak dan memerangi penularan jenayah rasuah dan salah guna kuasa agar segala kepentingan dan kebajikan warga peneroka dilindungi dan terpelihara,” katanya.
SPRM juga turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga peneroka bersempena sambutan Hari Peneroka Felda ke-60 yang akan diraikan pada 21 hingga 23 Julai ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan