KEADILAN DAILY
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mendedahkan bahawa pembangkang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan maklumat mengenai pelaburan-pelaburan besari dari China di Malaysia.
Bercakap pada forum mengenai pelaburan China di Malaysia semalam, ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata kerahsiaan pelaburan itu yang memerlukan kelulusan kabinet menteri menyukarkan tugas pembangkang yang mahu memastikan Putrajaya tidak memperjudikam kepentingan negara demi menarik pelaburan luar.
“Kita bercakap mengenai banyak projek dan perjanjian, tetapi payah untuk kita dapatkan satu senarai. Biasanya sebagai ahli Parlimen kita boleh dapatkan pelbagai dokumen dan bincangkan isu berbangkit,” katanya memetik laporan FreeMalaysiaToday.
Menurutnya, kebimbangan terbesar beliau ialah kekurangan maklumat mengenai perjanjian yang ditandatangani antara Selat PD Sdn Bhd dan CCC Dredging (Group) Co Ltd dan perjanjian antara Royal Bird’s Nest, Walet Company-International Private Limited Company dan Universiti Peking.
“Kita mengalu-alukan pelaburan tetapi untuk memastikan projek-projek itu berjaya, kita perlukan maklumat terkini projek-projek itu,” katanya pada forum yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu negara itu.
Beliau berikrar akan terus mendesak perbincangan mengenai pelaburan China di Parlimen bagi memastikan apa sahaja perjanjian yang melibatkan Malaysia akan menjaga kepentingan negara.
Kebelakangan ini, syarikat dan perniagaan dari China melabur di Malaysia dalam projek prasarana dan hartanah mega seperti Bandar Malaysia yang bernilaj RM43 bilion, Forest City yang dianggarkan bernilai RM442 bilion dan Laluan Kereta Api Pantai Timur sebanyak RM55 bilion.
Siri pelaburan tersebut menimbulkan kegusaran beberapa pihak terhadap kedaulatan tanah air dan kesan ekonomi kepada negara sekiranya pelaburan tersebut tidak mendatangkan hasil yang diunjurkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan