PETALING JAYA: Tan Sri Noh Omar berkata beliau tidak bercita-cita untuk
menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya Barisan Nasional (BN) menang
di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu
berkata beliau bekerja keras turun padang menyelesaikan masalah rakyat
disebabkan mahu menyelesaikan amanah yang diberikan kepadanya.
“Apa yang penting adalah untuk BN menang di Selangor dan selepas itu
terpulang kepada pucuk pimpinan siapa yang akan menjadi Menteri Besar
kerana bagi saya semua layak.
“Seorang pemimpin tidak harus bercita-cita memegang jawatan kerana ini
akan membuatkan kita kecewa jika tidak dipilih dan akan mewujudkan rasa
tidak puas hati malah akan ada perpecahan dalaman sebab itu saya kata
saya tidak bercita-cita menjadi Menteri Besar,” katanya dalam sidang
akhbar selepas program Kempen Keselamatan Kebakaran Bersama Bomba di
Flat Seri Aman Petaling Jaya dekat sini hari ini.
Noh kerap dilaporkan turun padang berjumpa rakyat malah beliau membawa
konsep baru iaitu memberi tumpuan kepada rakyat miskin bandar.
Ujarnya golongan itu tidak mendapat perhatian yang sepatutnya dan hidup
dalam keadaan tersepit dengan kos sara diri yang semakin meningkat.
Malah katanya, golongan sebegini kebanyakannya menghuni perumahan
bertingkat sepeti flat, pangsapuri kos rendah dan mereka yang sering
tersisih daripada bantuan pihak berwajib.
Atas kesedaran itu, Noh meluluskan jutaan ringgit untuk kerja-kerja
menyelenggara perumahan bertingkat yang mengalami masalah lif rosak,
bumbung tercabut, tangki air rosak serta mengecat semula bangunan yang
sudah uzur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan