IPOH: Susulan kes seorang jurulatih Kesatuan Renang Amatur Malaysia
(ASUM) yang disyaki merogol seorang atlet terjun, polis akan mengambil
keterangan semua atlet acara berkenaan bagi melengkapkan siasatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata masih terlalu
awal untuk mendedahkan sama ada terdapat atlet lain yang turut menjadi
mangsa.
"Saya tidak boleh komen (lanjut) buat masa ini... sudah tentu (polis)
akan mendapatkan keterangan daripada semua atlet. Ini prosedur biasa
dalam siasatan dan saya tidak akan dedahkan berapa ramai (atlet) yang
sudah diambil keterangan setakat ini," katanya dipetik Berita Harian.
Akhbar semalam mendedahkan seorang jurulatih ASUM berusia 35 tahun yang
berasal dari China dan berstatus taraf penduduk tetap (PR), ditahan di
Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) susulan laporan oleh ibu bapa mangsa
pada Ahad lalu.
Suspek ditahan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) di Sri Petaling
oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis
Kontinjen Kuala Lumpur, sekitar jam 12.30 tengah hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan