HALAMAN SANTAI

Isnin, 13 November 2017

Boo: Tak setuju peranan BERSATU mungkin sebab hilang kerusi CEC

MALAYSIAKINI
 


Boo Cheng Hau yang kalah dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semalam berkata, pendirian beliau yang tidak bersetuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) kemungkinan merupakan sebab kekalahan beliau.

Bekas anggota CEC selama 13 tahun itu berkata DAP dan parti pelbagai kaum lain seharusnya memimpin HARAPAN dan tidak membiarkan BERSATU mendominasi pakatan pembangkang untuk mendapat sokongan Melayu.

“Sebagai contoh, DAP sudah bekerja keras di Johor sejak beberapa tahun lalu. Kini kita mempunyai empat parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.

“Kerjasama kita seharusnya dipandu parti pelbagai kaum seperti DAP, PKR, dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai teras. BERSATU adalah sebuah parti kaum tunggal yang mungkin berguna namun ia parti baru, justeru tak seharusnya memimpin (HARAPAN) di Johor,” kata bekas pengerusi DAP Johor itu kepada Malaysiakini.

Menurut Boo, jika DAP ingin meraih sokongan Melayu, ia perlu bergantung dengan kebolehan parti sendiri atau parti lain seperti PKR atau AMANAH.

Ketika ini, Presiden BERSATU Muhyiddin Yassin merupakan pengerusi HARAPAN Johor sementara Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan pengerusi HARAPAN.

Boo yang merupakan ADUN Skudai berkata, DAP meraih 30 hingga 35 peratus undi Melayu di kawasannya dan di kerusi parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum lalu.

Boo yang menjadi ADUN dua penggal melihat hasil itu sebagai contoh baik bagaimana DAP bergantung kepada kebolehan sendiri mendapat sokongan Melayu.

“Organisasi kita berteraskan rakyat, yang boleh menarik pengundi Melayu. Apa yang saya tidak setuju adalah mengabaikan kepimpinan di Johor dalam pilihan raya umum akan datang dan berikannya kepada BERSATU.

“Perkara ini mungkin tidak perlu (bagi) menarik pengundi Melayu,” katanya yang menambah BERSATU tidak perlu menyertai HARAPAN namun boleh kekal sebagai sekutu dari luar.

Ditanya sama ada kekalahannya dalam pemilihan CEC akan mempengaruhi peluang mempertahankan kerusi Skudai, Boo berkata masih terlalu awal untuk membuat spekulasi berkenaan hal itu.

Beliau turut menegaskan tidak akan keluar DAP.

Boo dilantik sebagai anggota CEC selepas gagal memenangi pemilihan pada 2004. Bagaimanapun, beliau menang pada pilihan raya parti pada 2008 dan 2013.

Kerjaya politik Boo dilihat merosot sejak 2014 apabila hilang jawatan pengerusi DAP Johor kepada Liew Chin Tong yang cuma menjejakkan kaki di Johor pada pilihan raya umum 2013.


Tiada ulasan: