Menteri kewangan II berkata, rekod menunjukkan lebih
banyak syarikat didaftarkan selepas pelaksanaan GST berbanding cukai
jualan dan perkhidmatan (SST).
KUALA LUMPUR: Menteri kewangan II mendedahkan ada syarikat yang terpaksa menamatkan operasi selepas kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015.
Bagaimanapun, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia bukan disebabkan pelaksanaan GST, sebaliknya kerana saingan sengit.
“Banyak juga syarikat-syarikat datang ke pusat khidmat saya (mengadu) kena tutup perniagaan sebab persaingan. Kalau tudung buat dekat Indonesia lebih murah, sebab itu ramai pengusaha hantar jahit di Indonesia.
“Kedua soal sama ada persaingan atau tidak bergantung kepada jumlah bisnes kamu. Tetapi, kalau hendak bagi alasan syarikat tutup sebab GST adalah tidak betul.”
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar penutupan itu.
“Ini soal siasatan, saya tidak boleh dedahkan. Tetapi banyak alasan yang diberikan adalah sudah tua, tidak mahu berniaga, tubuh syarikat baru,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) di Dewan Rakyat, hari ini.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum ini berkata, jumlah kutipan GST mencecah RM41.2 bilion berbanding sasaran RM39 bilion pada 2016.
Johari berkata, rekod menunjukkan lebih banyak syarikat didaftarkan selepas pelaksanaan GST berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Oleh itu, beliau mencabar Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli membuktikan dakwaan kononnya pelaksanaan GST sejak 2 tahun lalu adalah salah dan menyusahkan rakyat.
“Saya minta tolong Pandan minta (bertanya) kepada pegawai-pegawai bank, Bank Negara mendakwa GST ini salah, tolong beritahu kepada saya. Tidak ada, jangan cerita banyak.”
Rafizi sebelum itu bangkit mendakwa ada syarikat mikro gulung tikar selepas pelaksanaan GST.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan