Oleh Ainor Rahim
CHERAS: Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk
Dr Cheah Soon Hai hari ini mengingatkan semua ahli partinya agar
mengekalkan 'semangat Teluk Intan', sebagai suntikan bagi menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Semangat Teluk Intan merujuk kepada kemenangan Gerakan pada Pilihan
Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada tahun 2014 menerusi Presidennya, Datuk
Mah Siew Keong.
Kemenangan itu disifatkan sebagai satu kemenangan bermakna bagi menebus
kembali kekecewaan ekoran prestasi merudum parti itu selepas bekas
Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang tewas pada PRU 2008 di
Parlimen Batu Kawan.
"Kami ingin mengingatkan semua ahli parti 'Semangat Teluk Intan' yang
kita tunjukkan pada 2014 yang mana kita kalah dengan majoriti. Sebelum
itu, pada tahun 2013, kita kalah lebih dari 7 ribu undi tetapi kita
dalam PRK Teluk Intan kita menang dan boleh kita merampas balik Teluk
Intan.
"Kita harap semangat ini, di Teluk Intan yang ditunjukkan pada 2014,
kita akan ulangi di semua kawasan kita dan dapat merampas kembali semua
kerusi kita yang telah dirampas oleh parti lawan kita," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda & Wanita
Gerakan 2017 yang berlangsung di Cheras, hari ini.
PRK Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mah, menentang calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.
Mah yang pernah menyandang kerusi itu selama dua penggal memperolehi 20,157 undi mengalahkan Dyana dengan 19,919 undi.
Kerusi Teluk Intan kosong, berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, akibat kanser pada 1 Mei 2014.
Sementara itu, beliau turut berkata Gerakan selama 39 tahun pentadbiran
di Pulau Pinang mempamerkan rekod baik, jika dibandingkan dengan DAP.
"Kita tak takut. Kita boleh dibandingkan dengan rekod kita. Kita pernah
memerintah negeri Pulau Pinang selama 39 tahun. Dalam kerajaan. Boleh
lihat pelaburan yang dibuat masa Tan Sri Koh Tsu Koon, berapa banyak
kita bawa masuk. Intel sehingga sekarang masih di Penang.
"Semuanya telah direkodkan sehingga sekarang. Kita juga menolak apa jua
pembangunan (berisiko), kita dengar arahan agensi berkaitan. Kita ada
'hub' rakyat. Kita dengar dan tidak ada kepentingan peribadi. Gerakan
juga tidak ada skandal sama ada di peringkat Exco dan Ketua Menteri,"
tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan