KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membayar pampasan kepada pengendali lebuh
raya berhubung langkah pemansuhan kutipan di empat tol di Semenanjung
Malaysia.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bayaran itu akan dibuat bermula tahun depan.
Beliau berkata kerajaan perlu menyerap kerugian yang ditanggung oleh
syarikat yang terlibat dengan pemansuhan tol seperti yang diumumkan
dalam Bajet 2018, untuk manfaat rakyat.
Katanya, anggaran pampasan bagi dua tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau
di Selangor berjumlah sekitar RM102 juta setahun, manakala bagi tol di
Bukit Kayu Hitam, Kedah dianggarkan RM8 juta.
"Kerajaan sentiasa mendengar dan kita juga melihat kepada keupayaan
kita untuk memenuhi kehendak rakyat. Sebanyak 155,000 kenderaan
menggunakan laluan bertol (Batu Tiga dan Sungai Rasau) setiap hari.
"Permintaan (daripada penduduk) telah berlaku agak lama... dan pemimpin
dalam Barisan Nasional telah memohon kepada kerajaan untuk memansuhkan
dua tol ini," katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Soal Jawab TV3
bertajuk 'Bajet 2018' malam tadi.
Johari berkata pampasan bagi pemansuhan kutipan empat tol kepada operator terbabit akan dibayar menggunakan sumber kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2018
di Dewan Rakyat minggu lalu, mengumumkan pemansuhan kutipan empat tol,
termasuk di Eastern Dispersal Link (EDL), Johor, mulai 1 Januari 2018.
Johari menjelaskan kerajaan kini dalam perbincangan dengan pihak pengendali lebuh raya tersebut.
"Kita kini di peringkat akhir perbincangan dan kita perlu membayar
(pampasan) kerana kerajaan mengambil alih aset dan kutipan tol mereka.
Kita perlu membayar balik tetapi ini semua untuk rakyat," katanya.
UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, merupakan pemegang
saham utama PLUS Malaysia Bhd (PLUS), pengendali lebuh raya tol terbesar
di Malaysia termasuk tol Batu Tiga, Sungai Rasau dan Bukit Kayu Hitam,
manakala Malaysian Resources Corporation Bhd adalah syarikat konsesi
yang mengendalikan Lebuhraya EDL.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan