Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Tindakan pimpinan beberapa bahagian Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) Johor yang membuat aduan rasmi kepada Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung dakwaan parti itu gagal mematuhi
ketetapan perlembagaan parti, seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi.
Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamaruddin Mohd Noor berkata, ini ekoran
tindakan pihak berkenaan yang secara terus merujuk ke pihak media,
sedangkan masih terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk
menyelesaikan isu terbabit.
"Kalau iya pun nak tahu dia tidak payahlah nak buat kenyataan sidang
akhbar. Dia boleh tanya dengan peringkat bahagian, tak puas hati dengan
peringkat bahagian. Boleh berjumpa dengan pimpinan peringkat negeri,
kalau tidak puas hati juga dia boleh berjumpa dengan pimpinan di
peringkat pusat.
"Jadi apabila kita belum buat itu semua dan terus pergi ke media itu
sudah nampak macam ada agenda lain bukan minat untuk jaga kebajikan dan
kepentingan parti," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Jelasnya juga, tidak timbul dakwaan seperti yang dibangkitkan pihak
tersebut kerana parti itu telah memperoleh tempoh lanjutan sehingga 18
bulan untuk mengadakan mesyuarat agungnya, iaitu setahun setengah
selepas penubuhan PPBM pada 8 September 2016.
"Kita telah pun memohon kepada RoS dan telah bersetuju supaya kita
tangguhkan mesyuarat agung sehingga 18 bulan, setahun setengah.
Maknanya, bila-bila masa sahaja kita merasakan sesuai dan wajar untuk
mengadakan mesyuarat dalam tempoh itu. Maka boleh mengadakan mesyuarat
agung tersebut. Itu kedudukannya sekarang ini,"jelasnya.
Semalam, lapan bahagian PPBM Johor mengemukakan aduan rasmi kepada RoS
dengan mendakwa pucuk pimpinan gagal mematuhi ketetapan perlembagaan
parti itu berhubung mesyuarat agung peringkat bahagian dan cawangan.
Lapan Bahagian PPBM negeri Johor yang terlibat adalah adalah Bakri,
Kluang, Semberong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Ledang, Batu Pahat dan
Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Semberong.
Ketua Penerangan PPBM Bahagian Kluang, Arjuna Putra Ali berkata,
sehingga semalam pihaknya tidak menerima sebarang notis bertulis
berhubung pelaksanaan mesyuarat agung mahupun penyampaian mengenainya
secara lisan atau sebaran media sosial.
Mereka berkata, dengan ketiadaan mesyuarat agung, pihaknya turut tidak
mengetahui status dan kedudukan parti dari segi perancangan, gerak kerja
parti, keahlian selain berkenaan kesahihan penjawat jawatan dalam parti
itu.
Parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu yang ditubuhkan secara rasmi
pada 8 September 2016 sepatutnya mengadakan mesyuarat agungnya sebelum
tarikh berkenaan tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan