BUKIT KAYU HITAM: Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk S Ambiga
perlu berani bertanggungjawab dan tidak boleh bersikap seperti
‘membaling batu sembunyi tangan’, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid berkata ia ekoran tindakan Ambiga memberikan data dan maklumat
mengaitkan pemimpin tertinggi PAS menerima wang daripada Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak kepada editor Sarawak Report, Clare
Rewcastle-Brown.
"Dari dahulu kita telah mengetahui sikap Ambiga iaitu berani bila ada
di belakang, tak berani bila ada di hadapan. Beliau mengelakkan diri
ditemui wartawan... tidak ada keberanian.
"Kalau ada keberanian dengan bukti diberikan kepada Sarawak Report ini,
mesti berani... beliau tidak harus bersembunyi untuk menyatakan perkara
itu. Beliau harus berani bertanggungjawab dengan semua data dan
maklumat diberikan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan
kerja dan mempengerusikan Mesyuarat Kedua Peringkat Tertinggi (HLC)
mengenai Keselamatan dan Kawalan Sempadan Negara Kompleks Imigresen,
Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang baharu
bagi Fasa Satu hari ini.
Baru-baru ini Brown menamakan Ambiga sebagai sumber maklumat terhadap dakwaan PAS menerima RM90 juta daripada perdana menteri.
Dalam kenyataan pembelaannya pada 11 Oktober lepas terhadap saman yang
difailkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Brown mendakwa
beliau dan Ambiga bercakap mengenai Najib, 1MDB dan PAS pada Julai 2016.
Pembelaan itu difailkan Brown dalam saman fitnah Hadi di Mahkamah
Tinggi London pada April lepas dengan membabitkan artikel yang mendakwa
PAS menerima dana berjumlah RM90 juta sebagai habuan menyokong Barisan
Nasional.
Artikel Sarawak Report bertajuk 'As Najib denies all over 1MDB let's
not forget his many other criminal connections' disiarkan menerusi
portal Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.
Ahmad Zahid sehubungan itu menyatakan simpatinya kepada PAS yang mana
parti berkenaan tidak boleh dianiaya dengan perkara yang tidak benar
seumpama itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan