HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Februari 2019

Belanja barangan yang perlu sahaja, Saifuddin

Norlaile Abd Rahman

xMGF01022019_PERSIDANGAN-IP-RESEARCH-ASIA10-681x454
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap ketika sesi sidang media pada Persidangan IP Research Asia di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI
 

GOMBAK- Pengguna dinasihatkan berbelanja barangan perlu sahaja ketika musim perayaan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Katanya, kementerian telah mengarahkan kira-kira 1,400 pemantau harga semasa Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina 2019 untuk memantau harga barangan kawalan sepanjang 10 hari bermula 30 Januari lalu sehingga 8 Februari ini.

“Jumlah 1,400 itu agak besar yang mana tugas hakiki pasukan pemantau ini adalah untuk meninjau dan memantau harga pengguna yang diletakkan dalam enam kategori antaranya barangan basah seperti ikan, ayam, dan sayur; barangan dalam tin, barangan penjagaan diri dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Untuk Memperkasakan Undang-Undang Harta Intelek di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, peniaga tidak kira sama ada peruncit, pengedar atau pemborong diharapkan dapat mematuhi harga kawalan yang ditetapkan sepanjang tempoh SKHMP ini.

Jelasnya, penetapan harga tersebut dilakukan selepas pihak kementerian mengadakan perbincangan dengan semua pihak terlibat sama ada daripada pihak industri mahupun pelbagai agensi-agensi berkaitan.

“Kita telah mengadakan perbincangan terlebih dahulu bagi memastikan dapat menetapkan satu harga yang paling munasabah,” katanya.

Bagi SKHMP Tahun Baharu Cina 2019, sejumlah 13 jenis barangan telah disenaraikan antaranya ayam, telur ayam, sayuran, barangan kering, hasil laut dan daging babi.

Peniaga yang engkar boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: