HALAMAN SANTAI

Ahad, 3 Februari 2019

Dr M: Pelbagaikan tanaman dapat tangani harga sawit, getah jatuh

MALAYSIAKINI



Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyarankan para petani untuk mempelbagaikan tanamannya bagi mengelakkan terperangkap dengan kejatuhan harga sawit dan getah.

"Saya kagum, terkejut melihat perladangan sayuran secara teratur. Inilah cara kita yang boleh kita bergantung kepada perladangan untuk sara hidup kita. Luasnya tak begitu (besar) tapi kalau tanam dengan kelapa sawit atas tanah ini, hari ini harga kelapa sawit jatuh, kita akan menangis.

"Tapi kalau kita ada kelapa sawit, satu bahagian kita tanam cash crop, tanaman yang boleh beri pulangan seharian maka kita tidak akan terperangkap dengan kejatuhan harga kelapa sawit ataupun getah," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian selepas mengadakan lawatan kebun pertanian di sekitar Selangor.
Video lawatannya ke kebun di Klang, Kajang dan Banting dimuatnaik ke laman rasmi Facebooknya.

Kejatuhan harga minyak sawit memberi kesan terhadap pendapatan peneroka Felda yang mewakili sejumlah besar pengundi luar bandar di negara ini.

Peneroka Felda juga mengadu mengenai beban tanggungan hutang. Ini kerana ketika menunggu pokok sawit matang untuk mengeluarkan hasil tuaian, peneroka mengambil pinjaman bagi menyara hidup mereka.

Ikut pasaran tak putus pendapatan

Menurut Dr Mahathir dengan mempelbagaikan tanaman maka petani tidak akan putus pendapatannya.

"Jadi kalau kita ada tanah mesti kita (buat) kebun tanaman campuran. Jangan kita pegang kepada satu jenis saja, kerana bila jatuh harga, kita akan hadapi masalah.

"Dalam tanaman cash crop ini pun macam-macam ada. Timun ada, cili ada, tomato ada, kalau kita turuti ini mengikut pasaran, kita tidak akan putus pendapatan hanya kerana jatuh harga satu jenis tanaman yang kita monopoli. Itu tak boleh," jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata cara baru pertanian yang disarankannya memerlukan disiplin, ilmu, semangat daya usaha serta tidak bergantung kepada pekerja asing.

"Cara baru ini kita perlu kepada orang yang sanggup terima cara baru ini. Mereka ini mempunyai disiplin kerana mereka terlatih. Kalau tidak ada disiplin kita tak boleh maju.

"Kita kena rajin, kita kena kurangkan pergantungan kepada pekerja, terutamanya pekerja asing, sebaliknya kita boleh buat sendiri.

"Kalau kita punyai passion (semangat daya usaha), Alhamdullilah kita akan berjaya. Jadi kita kena tukar cara kita dan kita akan berjaya sebagai seorang peladang moden. Itulah hasrat kita," katanya lagi

Tiada ulasan: