HALAMAN SANTAI

Selasa, 12 Februari 2019

ECRL: PH TERUS KELIRUKAN RAKYAT

Wartawan Watan-Online

Tindakan berdolak-dalik sesama pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu projek pembatalan ECRL dilihat mengelirukan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Ayer Hitam, Joni Muhamat Yahya berkata kegagalan kerajaan PH untuk mencapai kata ‘sebulat suara’ dalam isu tersebut turut membuatkan rakyat menjadi semakin tidak yakin dengan kredibiliti menteri-menteri PH mentadbir negara.

“Bukan sahaja Lim Guan Eng keliru dengan Azmin. Azmin juga akan keliru dengan Lim Guan Eng. Manakala rakyat terus keliru dengan Kerajaan Pakatan Harapan hari ini.

“Rakyat dapat melihat bahawa Kerajaan hari ini sangat mengelirukan dan tidak benar-benar yakin kemampuan menteri-menteri yang dilantik,” katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan pengumuman pembatalan projek ECRL oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada minggu lalu yang bercanggah dengan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Joni menjelaskan projek mega inisiatif BN yang akan menjadi tunjang utama rangkaian infrastruktur pelbagai mod pengangkutan ECER dan menjadi pelengkap kepada lebuhraya sedia ada itu sudah tentu bakal mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat.

“Sebagai pencetus sosioekonomi utama ECER, ECRL diunjurkan berupaya mengangkat tahap kesalinghubungan antara kawasan-kawasan industri, pusat ekonomi dan pelabuhan, di samping menawarkan pilihan perjalanan alternatif kepada penumpang.

“Projek ini juga akan memberi akses lebih baik kepada 10 hab industri di Pantai Timur, sekali gus merapatkan jurang ekonomi berasaskan peluang pekerjaan yang lebih banyak serta menyalurkan nilai modal yang lebih tinggi ke ECER.

Beliau berkata tindakan teragak-agak kerajaan PH dalam memutuskan mengenai pembatalan projek ECRL itu menunjukkan PH gerun dengan bayang-bayang kerajaan lama Barisan Nasional (BN) yang merupakan pencetus kepada projek tersebut.

“Kerajaan juga dilihat teragak-agak untuk membuat keputusan kerana ECRL adalah projek rancangan Kerajaan Barisan Nasional lalu.

“Mereka masih takutkan bayang-bayang Barisan Nasional,” katanya.


Tiada ulasan: