"TIADA angin masakan
pokok bergoyang," perumpamaan ini kena dengan situasi sekarang, apatah
lagi yang tak makan cili tiba-tiba rasa pedas, melaung memekik marahkan
PAS.
Yang menjadi sasaran di PRK Semenyih juga PAS walau PH lawan BN, Bebas dan PSM secara mutlak.
Tak nampak PH serang BN seperti sebelum ini, mengungkit-ungkit kisah silam BN, tetapi yang menjadi fokus utama PAS.
Pelik lagi ajaib, malah Presiden PKR
Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula dilihat amat bersungguh menafikan berlaku
pergolakan dalam Pakatan Harapan, walaupun PAS hanya menyatakan partinya
menghidu semacam satu usaha menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kenapa Anwar yang (kalau tidak kena mengena) harus menyerang dan mendakwa PAS bohong jika hakikatnya tidak berlaku perpecahan?
Dari kata-kata Anwar, jelas kelihatan
beliau marah kepada PAS selepas Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin
Hassan mendedahkan "ada perkara yang tak kena dalam PH".
Anwar sebelum ini ada menyebut bahawa
beliau akan menjadi PM (menggantikan Mahathir) dalam jangkamasa tidak
sampai dua tahun seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Maknanya ada usaha dalam kalangan
kumpulan pro-Anwar dalam PH berusaha mahu memastikan Presiden PKR itu
menggantikan Mahathir secepat mungkin.
Tidakkan Mahathir tahu hal ini, dan
tidakkah umum juga tahu usaha ini kerana pergolakan dalam pemilihan PKR
sebelum ini antara kem Rafizi Ramli dengan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
adalah juga kerana isu Anwar mahu dinobat sebagai PM secepat mungkin
menggantikan Mahathir?
Bayang-bayang Mahathir sebenarnya
sentiasa menghantui Anwar, dan episod kali ini lebih terbuka sifat
perangnya kerana Anwar dan kumpulannya secara terang menongkah arus
berdepan Mahathir.
Sebagai orang lama dalam politik, Mahathir dapat menghidu semua pergerakan ini dengan "mashinery"
yang ada, malah pada tahun 1998 sebelum isu skandal Liwat Anwar
sekalipun, ia juga telah terhidu dek Mahathir akan gerakan "bawah tikar"
oleh Anwar yang ketika itu Timbalan PM.
Anwar lupa, PAS banyak berjasa kepadanya
semasa aksi Reformasi 1998 membawa kejayaan mengecilkan majoriti BN
pada PRU 1999 semasa difitnah sebagai peliwat oleh Tun M.
Namun Anwar lupa semua itu, malah Anwar lupa bahawa PAS amat mengenali batang tubuh Anwar dengan sikap politiknya.
Anwar tak mampu menyimpan kemas
rahsianya apabila sekutu baiknya sejak zaman PR hingga PH lagi iaitu DAP
telah mendedahkan wajah sebenar kem Pro Anwar.
Lihat DAP Johor memulakan langkah dengan
mendesak Mahathir melepas jawatan segera atas alasan tidak seaspirasi
dalam manifesto PH.
Nah, inikan "retak", mahu bukti lagi,
para penyokong kedua belah pihak harus melihat siri-siri ucapan antara
Anwar dan Mahathir juga sekutu-sekutunya.
Nah yang nak disalahkan dan diserang PAS kenapa?
Seorang sahabat penulis menulis dalam
laman sosialnya berbunyi "Kebiasaannya, orang yang salah dia akan
gelabah dan berubah menjadi agresif"...Tepat pada maksud dan senario
yang berlaku ketika ini, walau Anwar nafikan, kerana cemas dan takut
perancangan telah dihidu sang ketua yang telah bertemu dan berbicara
bersama PAS.
Adegan selepas ini lebih menarik, maka
bermula lah tayangan filem hebat untuk ditonton sambil mengunyah
"popcorn" perisa karamel. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan