PRK SEMENYIH | Di
sebalik dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS tidak akan menyokong Umno
dalam PRK kali ini, hubungan antara kedua-dua parti itu nampaknya tetap
baik-baik sahaja.
Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Taman Semenyih Indah, Asri Harun, berkata sebelum ini memang ada arahan dikeluarkan oleh pimpinan parti supaya anggota PAS memberi kerjasama sepenuhnya kepada Umno.
“(Setakat ini) Tidak ada langsung arahan baru (untuk putuskan kerjasama),” katanya kepada Malaysiakini.
Tambah Asri, kerjasama untuk Umno sempena PRK kali ini terjalin sejak awal iaitu sebelum tarikh memperkenalkan calon lagi.
“Sehinggalah 14 hari bulan, tarikh memperkenalkan calon, memang dah jelas (kerjasama) itu dan nampak di Beranang, Semenyih dan sekitarnya, memang pimpinan (PAS) berada di tempat (pengumuman).
“Sehinggalah pada hari penamaan (semalam), itu sangat jelas. Pendek cerita, arahan memang secara rasmi keluar daripada kepimpinan PAS,” tambahnya.
Bincang hal pentadbiran
Untuk rekod surat arahan supaya PAS memberikan sokongan sempena proses penamaan calon BN dikeluarkan oleh PAS Selangor pada 14 Feb lalu.
Bagaimanapun semalam - pada hari penamaan calon untuk PRK Semenyih berlangsung - perdana menteri mengejutkan banyak pihak apabila mendakwa Abdul memberi perakuan PAS tidak akan menyokong Umno kali ini.
Menurut
Mahathir ia adalah perkara yang dibincangkan di antara beliau dengan
Abdul Hadi, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, dan Menteri Besar
Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Yayasan Al-Bukhari kelmarin.

Kata Mahathir, perakuan itu bukan sahaja dilakukan secara lisan, tetapi juga bertulis dan ditandatangani.
Malah hari ini, Mahathir sekali lagi menegaskan dakwaannya itu dengan mendakwa ketiga-tiga pemimpin PAS itu tidak akan menyokong Umno pada PRK kali ini kerana Umno bukan berdepan dengan DAP.
Mengulas tentang kerjasama di antara Umno dan PAS, Asri menjelaskan kerjasama itu dilakukan atas dasar "mudarat yang lebih ringan".
“Pada pandangan mata kasar kita, berdasarkan ilmu kita, dapati PH kurang menyerlah dari segi Islam. BN masih lagi kekal, cuma ada sikit-sikit yang kita boleh diperbaiki. Itu sajalah,” katanya.

“Dari hari pertama lagi, kita adakan perjumpaan di sini (khemah BN). Tak ada masalah,” katanya.
Jelas Sahab, selalunya orang PAS akan turun ke khemah BN beramai-ramai bagi membuat perjumpaan selepas solat Isyak.
Tunggu esok-esok
Kerjasama di antara PAS dan Umno itu turut dikongsi oleh Ketua Umno Cawangan Taman Seri Tanjung, Md Ali Daud.

“Ketua PAS di sini memang menyokong BN. Kalau ketua sokong, semua pun sokonglah," katanya.
Md Ali menambah hubungannya dengan anggota PAS di situ juga tetap rapat dan mesra.
"Orang PAS dan Umno (di sini) memang bersatu," katanya.
Md Ali juga mengakui aktiviti kempen belum cukup rancak setakat petang tadi namun dia tetap mempunyai perancangan masa depan.
"Memang besok (nanti-nanti), kalau ada apa-apa program, memang saya akan jemput dia (ketua PAS) dan ahli PAS,” katanya lagi.
Ditanya bilakah dijangkakan Umno Taman Seri Tanjung akan menggerakkan jentera kempen secara besar-besaran, dia memberi anggaran, tiga hari sebelum mengundi.
PRK Semenyih dijadualkan berlangsung pada 2 Mac ini.
Nota editor:
Temu bual ini diadakan pada siang tadi sebelum Setiausaha Agung PAS
Takiyuddin Hassan menjelaskan komitmen parti itu kepada Umno dan BN di
Semenyih tidak lagi sama seperti Cameron Highlands.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan