HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Februari 2019

Laporan audit PR1MA siap Jun ini

Mohammad Arif Nizam

MGF20022019_ZARIDAH-RASMI-FUNDMYHOME08-681x454
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bersama Pengerusi The Edge Property Sdn. Bhd, Datuk Tong Kooi Ong bergambar kenangan bersama pembeli rumah pada Majlis Pelancaran Skim FundMyHome-Depositku di Taman Pelangi Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
 

SEMENYIH – Laporan audit Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan siap pada Jun ini sebelum dibentangkan di kabinet.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, laporan itu sedang disiapkan dengan mengambil kira beberapa projek PR1MA terpaksa dihentikan.

Beliau bagaimana menafikan pihaknya telah mengabaikan projek-projek di bawah PR1MA selama ini.

“Projek PR1MA telah diselaraskan di bawah kementerian dan baki rumah yang belum terjual akan dibantu untuk dipromosikan pada Ekspo Perumahan pada 1 hingga 3 Mac ini di KLCC.

“Ada projek yang terpaksa dihentikan kerana masalah kewangan dan ia perlu dikaji membabitkan perjanjian yang telah dibuat.

“Bagi projek lain yang dihentikan membabitkan 10 peratus dalam pembinaan yang disifatkan tidak berbaloi jika diteruskan selain lokasi tidak sesuai dan perlu mengikut keutamaan projek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Skim FundMyHome-Sekuritiku di sini hari ini.

Pada Oktober tahun lalu, PR1MA ditempatkan di bawah KPKT bagi menyelia dan menyelaras pembangunan perumahan mampu milik di negara ini.

Sebelum ini, timbalan menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, harga rumah PR1MA akan dikaji untuk diturunkan daripada RM300,000 kepada RM250,000 seunit.

Langkah itu bagi membolehkan lebih ramai rakyat memerlukan dan berhak mampu membeli kediaman terbabit. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: