PRK SEMENYIH |
Satu-satunya calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Kuan
Chee Heng berkata perjuangannya adalah bagi membolehkan rakyat dapat
hidup dalam keadaan yang memuaskan.
“Kita tak patut hidup begitu. Kerja berpuluh tahun, apabila berumur 50 tahun beli rumah, itu pun tak cukup bayar. Lepas itu jatuh sakit, minta kerajaan bantu membayar bil (penyakit seperti) kanser.
“Kemudian anak-anak menderita. Semua simpanan dan EPF untuk bayar bil sakit. Bukan begitu caranya menjalani kehidupan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman penamaan calon di Dewan Seri Cempaka Kajang pagi tadi.
Tambahnya, rakyat bukanlah mahu kehidupan mewah, hanya sekadar cukup makan dan tidur sudah memadai.
“Kita (rakyat) hanya mahu cukup makan, cukup tidur. Itu saja kita perlukan. Kita tak perlu kereta besar, jam besar macam (sesetengah) yang berhormat. Hanya kehidupan yang ringkas,” tambahnya.
Logo telefon
Beliau yang merupakan anak penoreh getah memberitahu, beliau tidak mahu nasib menimpa mendiang ayahnya yang meninggal dunia di ladang getah kerana tidak cukup duit untuk memanggil ambulans turut menimpa orang lain.
“Ayah saya menghidap kanser, kami tiada duit nak panggil ambulans. Dia mati di (kediaman) ladang getah dalam keadaan menyedihkan.
“Saya tak mahu orang lain juga menerima nasib seperti saya.
“Saya sudah tua, tak banyak masa. Saya perlu lakukan perjuangan ini sekarang,” katanya lagi.
Selain Kuan, tiga lagi calon lain yang sah bertanding ialah Muhammad Aiman Zainaali (PH), Zakaria Hanafi (BN) dan Nik Aziz Afiq Abdul (PSM).
Hari mengundi PRK Semenyih dijadual pada 2 Mac, sementara tarikh mengundi awal ialah 26 Februari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan