HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Februari 2019

Ya, saya pencuri hati rakyat, kata Najib kepada sindiran Azmin



HULU LANGAT: Datuk Seri Najib Razak tak terasa hati apabila Datuk Seri Azmin Ali menggelarnya “pencuriku” untuk menjawab slogan “bossku” yang sering digunakan para penyokong bekas perdana menteri.

Sebaliknya dia dengan nakalnya menterbalikkan slogan timbalan presiden PKR itu, ketika hari penamaan pilihan raya kecil DUN Semenyih semakin dekat.

“Azmin kata Najib pencuri?

“Saya pencuri hati rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengunjungi gudang beli-belah Tesco di Semenyih malam tadi.

Tindak balas presiden Umno kepada serangan lawan disambut dengan sorakan ratusan orang yang berkerumun apabila terdengar akan kunjungan spontan bekas presiden Umno ini.

Azmin di pelancaran bilik gerakan Wanita Pakatan Harapan sempena PRK DUN Semenyih dilapor meminta pengundi di Semenyih jangan terpengaruh dengan kempen “bossku” seperti di Cameron Highlands.

Menteri hal ehwal ekonomi seterusnya menggelar Najib “pencuriku”.

Ditanya adakah dia akan berkempen pada pilihan raya nanti, Najib berkata dia sudi turun jika diminta.

“Kalau diundang, saya datang. InsyaAllah, saya datang,” katanya.

Mengenai kunjungannya ke Tesco malam tadi, ahli Parlimen Pekan berkata pemimpin masyarakat memintanya turun membeli belah di situ dan meninjau keadaan setempat.

Saya pun tak sangka sambutan yang luar biasa. Sama sekali menunjukkan rakyat memang nak dekat dengan saya.

“Mudah-mudahan ia akan diterjemahkan kepada sokongan nanti,” kata Najib.

Pengundi DUN Semenyih akan memilih pada 2 Mac nanti. Hari penamaan ditetapkan pada 16 Februari.

Dalam lawatan 30 minit itu, Najib membeli cili, air mineral, kordial laici dan kacang tanah. Dia ditemani para penyokong yang memakai kemeja biru gelap.

Bagaimanapun, Najib tidak sempat memeriksa harga barangan kerana terlalu ramai orang mengelilinginya.

“Saya tak dapat buat tinjauan sebenarnya, tapi komen-komen orang ramai mengeluh harga barang naik,” katanya.

Selepas membeli barangannya, Najib beransur ke gerai mamak berdekatan dan bergambar dengan para pengunjung.

Tiada ulasan: