ULASAN | Anggota Majlis
Pimpinan Tertinggi Bersatu, Rais Hussin Mohamed Ariff yang tidak senang
dengan perkahwinan Umno dan PAS melabelkan ia sebagai satu ‘sumbang
mahram’.
Pada beliau, penyatuan dua-dua parti ini adalah berlandaskan selera mereka terhadap penipuan, korupsi, kemewahan dan pencurian.
Rais melihat penyatuan ini melalui kaca mata dan survival politik kepartian semata-mata.
Memandangkan tidak ada hujah yang jelas dan kuat, beliau memilih pendekatan jelik. Iaitu membalut semua perkara dengan memetik konteks dan hukum agama, yang dengan tegas dan jelas tidak terpakai dalam perkara ini.
BACA BERKAITAN: Rais: Persandingan PAS-Umno sumbang mahram
Saya
tidak pasti sejauh mana beliau sedar dan faham akan hukum tindakan
memanipulasikan hukum agama sebagai analogi politik yang terpesong dari
konteks yang sesuai. Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang
halal.

Tindakan Rais sangat tidak berhikmah dan menunjukkan ketidakfahaman yang kronik dalam Bersatu terhadap senario politik jangka panjang Melayu - Muslim di negara ini.
Rais pastinya
enggan melihat penyatuan Umno dan PAS dalam konteks yang lebih besar
kerana dia tahu dampak penyatuan ini pada Bersatu. Dan jangan heret
analogi sumbang mahram yang tidak kena itu.
Rais mesti fikirkan kembali tentang perpecahan kuasa politik Melayu-Islam. Dan masa depan orang Melayu.

Tindak tanduknya, di dalam hal ehwal politik, ekonomi, perkahwinan dan kematian, semuanya bersendikan syarak. Tidak pernah melupakan tuntutan rohaniah di dalam segenap usaha untuk memakmurkan duniawi.
Lebih malang, saat kita melangkah ke abad ke-21, umat Melayu - Islam di bumi ini sudah semakin hilang kuasa dan hilang jati diri, dek kerana badai modenisasi yang menyelinap masuk ke dalam naratif politik, ekonomi dan sosio-budaya mereka.
Malah, kini orang Melayu semakin terpinggir di tanahnya sendiri. Yang bergaji tidak naik-naik. Yang berniaga sudah semakin rugi, dan yang beranak-pinak pula semakin risau dengan kos pendidikan zuriat mereka.
Belum diambil kira, cara hidup, pemikiran dan identiti mereka sering dikecil-kecilkan dan disindir-sindir, kerana sudah tiada berkuasa politik dan ekonomi lagi.
Maka kerana itu Umno dan PAS bergerak demi pengupayaan bangsa, untuk kebaikan semua, kerana hanya mereka yang berani sahaja mampu mereka sejarah yang penting ini.

Nasionalisme Melayu, dipacu dengan agama Islam serta penekanan terhadap kepentingan pendidikan dan ekonomi akan terus menjadi penyelesaian kepada permasalahan mendatang.
Seperti mana yang dimulakan alim-ulama kita dahulu, ketika Persidangan Agung Ekonomi - Agama Se-Malaysia, di Maahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol, Perak Darul Ridzuan.
Roh dan semangat mereka dalam memartabatkan orang Melayu serta agamanya haruslah dijadikan asas kepada penyatuan ini, dan hanya dengan penyatuan dan kesefahaman politik sajalah, ia kini dapat direalisasikan kembali.
Dahulunya, naratif nasionalisme dan pembangunan Umno serta naratif Islam dan konservatif PAS tidak pernah dan seakan mustahil untuk disatukan.

Sudah banyak umat Melayu dan Islam rugi akibat perpisahan ini. Luluh hati wira dan wirawati nasionalis kita, dan masyghul jiwa alim-ulama kita, jika di dalam senario politik sekarang pun, kita masih lagi tidak bersatu.
Masih terus mencari perbezaan dan masih terus mengungkit-ungkit kisah silam. Tidak ubah seperti anak-anak kecil di bangku sekolah yang berebutkan gula-gula kapas tetapi terbawa-bawa sehingga kedua-dua sudah berjanggut putih.
Inilah masa kita bersatu dan membawa kembali kebaikan kepada bangsa. Sampai bila mahu memecah-belahkan bangsa sendiri. Kita mesti bersama-sama untuk memberikan sumbang saran agar idea terbaik dapat diterjemahkan kepada kebaikan bangsa dan negara.
Janda jual maruah, tidur lelaki beramai-ramai
Kunci kesedaran yang sebenar selama ini adalah dimiliki dua parti gergasi Melayu dan Muslim - Umno serta PAS.
Bukan pada dua orang personaliti yang sudah mengkhianati bangsanya sendiri dengan bekerjasama dengan DAP dan PKR, parti yang dipimpin oleh individu-individu yang sangat mereka musuhi, benci dan hina dengan kejam suatu masa dahulu.
Kalau kita guna analogi terdesak seperti Rais, Bersatu ini tidak ubah seperti janda Umno yang kini menjual maruah dan meniduri lelaki lain secara beramai-ramai semata-mata agar bekas suaminya dapat dibunuh dan tidak dapat berkahwin dengan orang lain.
Apa gelaran yang sesuai ya? Janda yang cemburu dan kegilaan talak barangkali. Yang pasti, ‘bunga’ seperti ini memang tidak layak dipetik dan dipinang sebagai pasangan, apatah lagi dinikahi dan ditiduri.
*MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno dan bekas menteri besar Johor

Tiada ulasan:
Catat Ulasan