KUALA TERENGGANU:
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan,
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ‘ketakutan’ dengan perpaduan
orang Melayu.
Katanya, kerjasama PAS-Umno bukan
perkara baharu tetapi ditakuti oleh pemimpin DAP itu kerana penyatuan
Melayu Islam di negara ini.
“Saya rasa itu ketakutan dia bila
berlakunya perpaduan Melayu. Dia tidak boleh gunakan orang Melayu untuk
kepentingan politik dia. Itu ketakutan dia. Tapi, kepada kita tidak
mengabaikan kaum lain.
“Kita menerima konsep pendatang yang
dibawa oleh British jadi rakyat. Sepatutnya, kaum lain menghargai jasa
orang Islam, menerima mereka jadi rakyat, hak beragama dan berbahasa.
“Setahu saya, di Indonesia tidak
dibenarkan buka sekolah Cina, di Thailand tidak dibenarkan buka sekolah
Cina. Tapi, di tempat kita ini dibenar buka sekolah Cina, buka sekolah
Tamil.
“Sepatutnya, mereka kenang budi. Ini
hendak minta lebih lagi dan suatu perkara yang tidak patut,” tegasnya
kepada pemberita selepas menyampaikan Tazkirah Bulanan di Dewan Besar
Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Menurutnya, penyatuan dan perpaduan
orang Melayu itu bukan hanya dengan Umno tetapi termasuk parti-parti
lain dalam Gagasan Sejahtera.
“Memang kita mahu bekerjasama dengan
mana-mana parti Melayu. Kita dapati orang Melayu berpecah. Orang Cina
tak berpecah. Orang Cina, dia pakat undi DAP, MCA pun undi DAP, orang
Gerakan pun undi DAP.
“Kita Melayu ini, kalau banyak parti
ikut jumlah parti itu. Dengan sebab itu, kita berpendapat perlu
menyatukan parti-parti orang Melayu. Parti orang Melayu ini yang tinggal
hanyalah PAS, Umno dan Bersatu.
“PKR bukan parti Melayu, PAN bukan parti
Melayu. Dengan sebab itu kita bekerjasama dengan parti-parti Melayu
termasuk Bersatu dalam kerajaan sekarang. Kita anggap itu parti Melayu.
“Apa yang penting ialah PAS bekerjasama
dengan Umno dan Bersatu, parti-parti Melayu ini, termasuklah parti yang
ada dalam Gagasan Sejahtera dan bukan dengan Umno sahaja,” jelasnya.
Selain itu, katanya PAS menegaskan mahu mengembalikan kepimpinan negara ini kepada orang Melayu Islam.
“Sebab itu kita menyokong Tun (Mahathir)
terus menjadi Perdana Menteri sampai habis penggal, bukan untuk
mengembalikan Najib Razak.
“Dato’ Seri Najib sudah tidak jadi
Perdana Menteri dan bukan Presiden Umno pun sekarang ini. Sekarang ini
Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dan kita pertahankan dia sebagai
Perdana Menteri sehingga habis penggal,” tegasnya.
Apa yang menarik, menurutnya kerjasama
PAS-Umno itu boleh diterima di peringkat bawahan ahli terbukti dalam PRK
Cameron Highlands dan Semenyih. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan