Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim berharap Pakatan Harapan (PH) akan mengekalkan pendirian untuk menjaga kepentingan rakyat tanpa mengira kaum.
Katanya dasar itu mesti diteruskan walaupun undi terhadap gabungan itu merosot di kalangan pengundi Melayu sebanyak 6.52 peratus pada pilihan raya kecil Semenyih.
"Penderitaan rakyat perlu diberi perhatian dan cari jalan penyelesaian.
"Dasar ekonomi dan tindakan pelaksanaan ekonomi untuk membantu rakyat jelata dari semua kaum dan agama sangat diperlukan sekarang ini," kata Hassan yang juga anggota parlimen Pasir Gudang dalam kenyataan.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas presiden PKR Anwar Ibrahim berkata keutamaan kerajaan persekutuan adalah menjana pertumbuhan ekonomi serta program yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Semua retorik politik bersifat perkauman sempit dan sikap keagamaan sempit dan asabiyah akan ditolak oleh semua rakyat yang rasional, bertanggungjawab yang cintakan perpaduan dan keamanan termasuk dari kalangan Orang Melayu dan Islam yang merupakan penduduk majoriti Malaysia," katanya.
Semalam Anwar berkata program untuk rakyat dapat menangani kerjasama Umno dan PAS serta kenyataan bersifat perkauman dalam perkembangan politik mutakhir ini.
Anwar menyifatkan reaksi atas kekalahan PH dalam PRK Semenyih "dibuat secara gopoh" sedangkan sokongan daripada rakyat termasuk orang Melayu tidak banyak berubah.
Pada PRK Semenyih yang berlansung baru-baru ini, anggaran Malaysiakini mendapati PH mendapat 37.73 peratus undi Melayu - menurun berbanding 44.25 peratus pada PRU ke-14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan