HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Mac 2019

Hisap dadah akibat terpengaruh suami

Zuliaty Zulkiffli
 
 

GOLONGAN wanita yang dikesan terjebak dengan dadah di sekitar Pendang dipercayai akibat terpengaruh dengan suami yang juga penagih.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, walaupun jumlah itu tidak membimbangkan, namun pihaknya akan cuba membanteras kegiatan itu berdasarkan risikan dan maklumat yang diperoleh.

Beliau berkata, tidak mustahil daerah Pendang yang bersempadan dengan lima daerah iaitu Sik, Kota Setar, Yan, Sungai Petani dan Padang Terap pernah menjadi laluan belakang tokan namun tidak membabitkan pengedaran dadah berskala besar.

Katanya, ia mungkin membabitkan pengedaran secara kecil-kecilan atau untuk kegunaan sendiri bergantung pada permintaan.

“Kita dapati ‘trend’ di daerah ini adalah pengedaran dadah secara kecil-kecilan dan ada juga penagih yang datang dari luar daerah ini untuk melepaskan gian.

“Biasanya mereka akan menjadikan ladang kelapa sawit atau kebun getah sebagai ‘port’ untuk menagih kerana ia sunyi dan jauh dari perkampungan orang ramai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Polis ke 212 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, hari ini.

Arriz Sham berkata, bagaimanapun indeks jenayah membabitkan dadah dan curi motosikal di daerah ini menunjukkan penurunan berikutan banyak tangkapan penagih dan pengedar dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Pendang.

Beliau berkata, ini berikutan kebimbangan masyarakat terhadap penagih yang turut terbabit dengan jenayah jalanan akibat pengaruh dadah.

Dalam majlis itu, Arriz Sham turut menyampaikan sijil dan surat penghargaan kepada Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan orang awam.

Selain itu, dua wakil media, Zuliaty Zulkiffli dari Harian Metro dan Mohd Fadil Ahmad dari Bernama turut menerima surat penghargaan, hari ini.

Tiada ulasan: