Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata perjumpaannya dengan Zakir Naik minggu lalu tidak bererti pendiriannya terhadap pendakwah itu berubah.
Jelas Mujahid, perjumpaan itu adalah baginya menjelaskan situasi Malaysia kepada Zakir.
"Kandungan yang kita bincang adalah tiga teras yang kita bincang tadi - rahmatan lil alamin, maqasid (dan model Malaysia) itu - macam mana saya nak memahamkan dia (Zakir) tentang Malaysia punya realiti. Masalah Malaysia apa.
"Saya rasa itu satu pertemuan yang baik untuk saya bagi jelaskan kepada dia, dasar-dasar pentadbiran negara Islam yang ada hari ini. Dan dengan itu dia dapat satu gambaran.
"Yang lebih penting, yang di luar sana yang menimbulkan permusuhan antara saya dengan dia dapat dileraikan. Pertemuan itu bukan satu pertemuan yang 'U-turn', bukan.
"Pertemuan itu untuk menjelaskan kepada dia. Sebelumnya saya tidak ada ruang untuk bertemu dengannya," katanya.
Mujahid berkata demikian kepada pemberita selepas seminar Hari Wanita yang diadakan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Kuala Lumpur hari ini.
Selepas bertemu Zakir minggu lalu, Mujahid berkata pengalaman Zakir di seluruh pelusuk dunia menjadi inspirasi meneruskan kerja dakwah.
September lalu, Mujahid menyifatkan gaya penyampaian ceramah Zakir tidak sesuai di Malaysia dan mendakwa cara penyampaiannya turut menggunakan pendekatan memperlekeh agama lain.
Zakir kini dikehendaki di negara asalnya, India atas dakwaan pengubahan wang haram. Kerajaan di bawah pentadbiran BN sebelum ini memberikan status penduduk tetap kepada Zakir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan