Mendakwa kemungkinan wujud ketirisan dan salah guna kuasa berhubung isu pembayaran dan saman parkir sekitar Kota Bharu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan penyiasatan.
Pengerusi Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) Pengkalan Chepa, Azmi Ismail mendakwa Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) melantik sebuah syarikat swasta bagi mengendalikan parkir di bandar itu.
Namun katanya, keraguan wujud apabila resit bayaran saman dikeluarkan melalui syarikat swasta walaupun saman itu dikeluarkan oleh penguat kuasa MPKB-BRI.
"Anggota MPKB-BRI yang diberi gaji oleh kerajaan melalui hasil kutipan cukai daripada rakyat seolah-olah bekerja dengan syarikat swasta terbabit apabila kerja menyaman dan rondaan dilakukan mereka.
"Apabila tayar kereta saya dikunci lewat petang semalam, saya diminta membuat bayaran di sebuah pejabat syarikat swasta di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini sebelum bertemu dua anggota MPKB yang berada di situ dan dimaklumkan mereka diarah oleh satu unit bendahari pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.
"Saya rasa pelik kenapa saman dikeluarkan anggota MPKB-BRI yang memakai pakaian seragam sedangkan mereka bukan bekerja dengan syarikat berkenaan. "
Kenapa pula kertas saman adalah daripada MPKB, tetapi resit bayaran melalui syarikat berkenaan?" katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu, Azmi bersama dua rakan NGO tiba di SPRM Kelantan pada jam 10.30 pagi, bagi membuat laporan mengenai perkara itu.
Malah, satu laporan polis juga turut dibuat semalam.
Azmi berkata, pihaknya curiga apabila saman parkir dikeluarkan PBT namun bayaran dikutip pihak lain.
"Kalau kita disaman dengan polis, maka polis yang beri kertas dan resit saman.
"Sebaliknya pula berlaku, orang lain saman tapi kita bayar kepada orang lain, bukan pada orang yang saman kita, ini tidak betul," jelasnya sambil menegaskan bayaran saman dikenakan juga terlalu tinggi.
Sebagai rekod, bayaran saman dikenakan sebanyak RM100 untuk membuka kunci tayar dan kompaun RM10 atas kesalahan meletakkan kenderaan bukan di ruangan parkir disediakan.
"Kita tak marah disaman kerana kita melakukan kesalahan. Cuma yang kita pertikai kenapa syarikat berkenaan tidak guna pekerja mereka sendiri, kenapa guna pekerja MPKB? Dan kenapa pula tiada resit dari MPKB, sedangkan kertas saman boleh pula guna MPKB.
"Justeru sampai bila kerajaan mahu berdiam diri dengan perkara ini, satu masa nanti akan beri kesan kepada pelancong untuk masuk ke Kelantan. Baru-baru ini pun saya sudah dengar pelbagai rungutan masalah kunci tayar," tegas Azmi.
Malaysiakini sedang menghubungi MPKB untuk mendapatkan ulasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan