MENTERI di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, menjelaskan bahawa
kerajaan akan mengurangkan subsidi Lembaga Tabung Haji (TH) ke atas
jemaah haji dengan menggunakan konsep “Istito’ah”.
Konsep berkenaan diperkenalkan bagi
mengurangkan bantuan TH. Istito’ah bermaksud seseorang hanya boleh pergi
haji dalam keadaan yang mampu.
Dewan
Pemuda IKATAN Malaysia mengecam kenyataan YB Menteri yang seakan-akan
menggunakan istilah arab dan bermain dengan kata-kata untuk menghalalkan
subsidi dikurangkan. Kos sebenar haji ialah RM22,900.
Selama ini, rakyat hanya membayar
RM9,980 untuk membolehkan mereka mengerjakan ibadah rukun Islam kelima
itu. Persoalannya, jika dahulu kerajaan Barisan Nasional menjaga
kebajikan rakyat, terutama umat Islam, kenapa hari ini kerajaan Pakatan
Harapan terus membebankan rakyat?
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia
menggesa kerajaan memperhalusi balik keputusan ini kerana keputusan
sebegini menekan rakyat. Bagaimanakah pakcik dan makcik di kampung
hendak mengumpul RM22,900 di waktu keadaan ekonomi Malaysia sendiri
makin tenat dengan kos sara hidup makin melambung tinggi.
Pakcik dan makcik di kampung juga
tertekan dengan penurunan harga getah dan kelapa sawit yang mencari
punca mata pencarian mereka. Jika pakcik dan makcik berjimat dan
menyimpan sebanyak RM100 sebulan, mereka memerlukan masa menyimpan
selama 229 bulan atau 19 tahun!
Seharusnya subsidi terus
diberikan kepada rakyat Malaysia untuk pergi mengerjakan haji pertama.
Itulah yang dinamakan kerajaan berkebajikan. Banyak aset TH yang sudah
diletakkan di bawah SPV.
Ke manakah perginya apa jua pulangan dan
keuntungan daripada dasar penstrukturan semula aset-aset TH ini hingga
kerajaan masih mahu memeras segalanya daripada rakyat?
Dewan
Pemuda IKATAN Malaysia sekali lagi menggesa YB Menteri memperhalusi
kembali keputusan memotong subsidi haji demi menjaga kebajikan rakyat,
dalam kes ini rakyat yang beragama Islam.
Demi Bangsa Malaysia!
*SHAHIR ADNAN ,Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia
– HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan