HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Mac 2019

Pengurusan bencana Sungai Kim Kim: Ibrah dan cadangan penambahbaikan

Pengurusan bencana Sungai Kim Kim: Ibrah dan cadangan penambahbaikan
Sungai Kim Kim menjadi tempat pembuangan sisa bahan kimia sehingga mengundang bencana.


BENCANA pencemaran kimia Sungai Kim Kim telah menyebabkan situasi panik bukan hanya pada penduduk Pasir Gudang dan kawan sekitarnya, malahan menarik minat seluruh negara untuk mengikuti perkembangannya.

Malahan peristiwa ini bakal dikenang dan mungkin menjadi rujukan banyak pihak apabila membicarakan kejadian-kejadian bencana di Malaysia.

Kata pepatah, mendengar dan melihat tidak akan sama. Berpegang pada kata-kata ini, saya mencuri sedikit masa senggang saya untuk pergi sendiri ke kawasan bencana bagi menghulurkan sedikit bantuan dan mengikuti perkembangan ini secara lebih dekat.

Malahan saya turut berkesempatan untuk menyertai wartawan Firdaus Azil dan jurukamera Mohamad Noor Fitri dari Astro Awani membuat liputan langsung dari kawasan operasi Sungai Kim Kim dan Stadium Tertutup Pasir Gudang.


Penulis (tengah) bergambar bersama petugas Astro AWANI, Firdaus Azil (kanan) dan Mohamad Noor Fitri.
Penulis (tengah) bergambar bersama petugas Astro AWANI, Firdaus Azil (kanan) dan Mohamad Noor Fitri.


Secara jujurnya, saya menyaksikan bagaimana bersungguh petugas-petugas yang terlibat khasnya petugas barisan hadapan seperti Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Chemical, Biological, Radiological, Nuclear & Explosive, Angkatan Tentera Malaysia (CBRNe – ATM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang Emergency Mutual Aid (PAGEMA), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), media, sukarelawan, kontraktor pembersihan dan semua yang terlibat dalam operasi bencana tersebut bagi memastikan ianya dapat diatasi seberapa segera.

Pengorbanan mereka ini, meninggalkan keluarga tanpa diketahui bila berakhirnya tugas mereka wajar diberi pujian & penghargaan.

Jutaan terima kasih buat mereka yang telah bertungkus lumus memberikan perkhidmatan sebaik mungkin kepada mereka yang terjejas.

Hasil kesungguhan semua pihak situasi bencana tersebut adalah terkawal. Terkini, proses pembersihan Sungai Kim Kim tersebut telah selesai dilaksanakan dan kualiti udara juga pada paras yang selamat.

Malahan dengan perkembangan positif itu, Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana dan Pusat Rawatan Medic Base Stadium Tertutup Pasir Gudang telah ditutup secara rasmi pada 12 jam tengah hari Rabu, 20 Mac lalu.

Berdasarkan pemerhatian langsung di lokasi, saya berpandangan terdapat beberapa elemen yang perlu ditambah baik bagi menangani kes-kes seperti ini pada masa akan datang.

Berikut adalah cadangan penambahbaikan yang mungkin boleh dilakukan oleh pihak yang terlibat

1- Mewujudkan satu saluran rasmi bagi tujuan memaklumkan keadaan terkini kepada penduduk yang terjejas khususnya dan semua yang mengikuti perkembangan bencana tersebut amnya. Saluran ini penting bagi menyalurkan maklumat terkini dan telus kepada semua pihak termasuklah komuniti setempat, pengurusan dan pemilik industri, serta pelabur asing. Seterusnya dapat menghindarkan penyebaran maklumat palsu dan tidak tepat oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Sebagai contoh dalam kes jerebu, semua orang boleh mengetahui keadaan terkini Indeks Pencemaran Udara di kawasan terjejas melalui laman web APIMS yang dibangunkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

2- Mengamalkan tatacara ‘Single Person of Contact - SPOC' dalam memberi sebarang kenyataan mengenai situasi terkini operasi bencana. Hal ini bagi mengelakkan kenyataan yang dikeluarkan bercanggah di antara satu sama lain. Hal ini boleh menyebabkan pengurusan operasi bencana kelihatan ‘carca marba’ dan seterusnya mengikis kepercayaan awam terhadap Jawatankuasa Pengurusan Bencana serta boleh menimbulkan suasana panik terhadap komuniti terjejas.

3- Memperbaiki kaedah koordinasi di antara petugas dan sukarelawan yang terlibat dalam operasi bantuan bencana. Satu proses pendaftaran petugas dan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai agensi perlu diwujudkan bagi mengetahui kekuatan sebenar anggota yang terlibat dalam operasi tersebut. Hal ini memudahkan urusan membuat jadual tugasan, pengurusan logistik dan lain-lain supaya sumber tenaga manusia yang diperoleh dapat digunakan sepenuhnya. Malahan taklimat keselamatan dan kesihatan perlu diberikan kepada semua petugas dan sukarelawan yang terlibat termasuklah pemilihan dan cara pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul sewaktu menjalankan tugas dalam kawasan yang terjejas.

4- Kaedah koordinasi terhadap orang ramai terutamanya di kawasan pusat bencana (ground zero) harus perbaiki. Contohnya, kawalan keselamatan di kawasan operasi pembersihan Sungai Kim Kim yang terlalu longgar membolehkan orang awam untuk berhenti dan memerhatikan operasi tersebut tanpa sebarang perlatan perlindungan diri (PPE) yang sepatutnya. Perkara ini boleh mendedahkan mereka kepada bahaya pencemaran kimia dan menjejaskan kesihatan mereka. Kawalan keselamatan yang lebih ketat perlu dilaksanakan termasuklah tindakan menutup kawasan operasi kepada orang awam, menyediakan laluan alternatif, kawalan lalu lintas, dan lain-lain.

5- Komunikasi langsung kepada orang ramai perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan. Penyediaan kain rentang (banner), poster dan risalah bagi memberikan maklumat yang tepat tentang maklumat necana dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil oleh mereka perlu dilakukan. Penggunaan aset-aset siaraya atau ‘PA system’ jabatan-jabatan tertentu seperti Jabatan Penerangan, Jabatan Kesihatan, MPPG dan lain-lain untuk menyampaikan maklumat secara audio dan langsung kepada mereka juga perlu digiatkan. Malahan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana juga boleh mendapatkan bantuan Jabatan Agama Johor untuk mewajibkan semua surau dan masjid dalam kawasan terjejas untuk membacakan sebarang pengumuman rasmi berkaitan bencana pada waktu sembahyang berjemaah. Pihak media juga perlu digunakan sepenuhnya dalam memberikan maklumat yang tepat melalui media massa.

6- Satu sistem pemantauan yang berkesan perlu diwujudkan oleh pihak yang berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan terhadap aktiviti-aktiviti industri yang berisiko tinggi menyebabkan bencana kimia pada masa akan datang. Malahan tindakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih telus perlu dilaksanakan bagi memastikan peristiwa seperti ini tidak berulang.

7- Memperkasakan program sekolah selamat yang telah diwujudkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyediakan pelajar dan warga sekolah dalam menghadapi situasi kecemasan dengan memberikan fokus terhadap ancaman bencana kimia seperti ini bagi semua sekolah di Malaysia, khususnya sekolah yang didirikan dalam kawasan industri seperti Pasir Gudang.

8- Orang awam harus lebih cakna tentang sebarang perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Aduan kepada pihak berwajib perlu dilakukan segera jika mendapati atau mengesyaki sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan kerja atau tempat tinggal mereka. Pihak berwajib pula harus mengambil serius terhadap setiap aduan yang diterima dan memberikan makluman rasmi kepada komuniti setempat tentang tindakan yang telah dilakukan hasil dari aduan orang ramai.

9- Pihak berwajib khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) perlu mewujudkan satu prosedur kerja standad (SOP) dan dalam masa yang sama meningkatkan pogram latih amal kepada penduduk setempat khusus bagi menangani bencana kimia seperti ini. Ini bagi memudahkan agensi-agensi lain yang terlibat dan orang ramai sebagai persediaan dan tindakan kecemasan yang sewajarnya ketika menghadapi bencana tersebut.

Semoga cadangan-cadangan penambahbaikan ini dapat diteliti dan diperhalusi oleh pihak berkaitan dan dijadikan panduan bagi memastikan rakyat Malaysia lebih bersedia dalam menghadapi bencana seumpamanya.


* Mohd Soffian Osman merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn. Bhd.

Tiada ulasan: