HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Mac 2019

PM New Zealand terima ancaman bunuh

Ainulillia 

Twitter tarik balik posting, gesa orang ramai tidak ulang siar kandungan libatkan keganasan


WELLINGTON – Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dilaporkan menerima ancaman bunuh di laman media sosial, Twitter.

NZ Herald melaporkan, polis sedang menyiasat ancaman bunuh yang dihantar kepada Jacinda Ardern itu.

Akhbar itu melaporkan, sebuah gambar senapang yang disertakan dengan kapsyen di Twitter ‘You are next’ telah dihantar kepada Perdana Menteri.

The Herald berkata, gambar itu difahamkan telah ditarik balik selepas orang ramai membuat laporan kepada Twitter setelah lebih 48 jam ia dimuatnaik.

Akaun Twitter penghantar ancaman bunuh itu turut digantung sebelum 4 petang semalam.

Jurucakap Twitter berkata, undang-undang di laman sosial itu melarang sebarang ancaman ganas.

“Kami mengambil tindakan tidak lama selepas kami menerima laporan pertama pada ‘tweet’ ini, dan pasukan kami terus bekerja secara proaktif untuk menghapuskan kandungan yang melanggar dan menyalahi undang-undang perkhidmatan kami yang berkaitan dengan serangan Christchurch.

“Kami juga terus bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang untuk memudahkan siasatan mereka seperti yang diperlukan.

“Kami sangat menggalakkan pengguna di Twitter untuk melaporkan kandungan yang melanggar dan menyalahi undang-undang supaya kami boleh mengambil tindakan. Mengulang siar atau berkongsi tangkapan skrin kandungan jenis sedemikian hanya berfungsi untuk menyebarkannya lebih jauh dan memberikannya lebih banyak pendedahan kepada lebih banyak orang,” katanya.


Tiada ulasan: