HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Mac 2019

Wajar catu air – AWER

Bernama

MGF22032018_-MB-NEGERI-SEMBILAN-BERSAMA-RAKYAT004-681x454
Empangan Triang Jelebu, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK,
 

KUALA LUMPUR – Catuan bekalan air wajar dilaksanakan di kawasan-kawasan yang paras empangannya berada pada lingkungan 50 peratus berikutan musim kering yang dijangka melanda negara sehingga Mei ini.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran berkata, ini bagi memastikan bekalan air mentah sedia ada akan terus dapat bertahan dalam tempoh yang lebih lama.

“Langkah ini juga adalah bagi mengawal penggunaan air secara berlebihan kerana apabila berlaku catuan, secara automatik pengguna pun akan meminimakan penggunaan air dalam aktiviti seharian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Malaysia dijangka mengalami musim kering sehingga Mei ini dengan Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pahang dan Kelantan akan merekodkan hujan kurang daripada 25 peratus purata hujan tahunan bagi tempoh April-Mei ini.

Tiga empangan merekodkan storan kapasiti dalam lingkungan 50 peratus iaitu Empangan Muda di Kedah (58.97 peratus) serta dua empangan di Johor iaitu Machap (55.61 peratus) dan Sembrong (54.07 peratus).

Menjelaskan lanjut, beliau berkata perancangan yang teliti perlu dibuat sebelum sebarang tindakan catuan dilaksanakan seperti memberi notis sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal kepada pengguna bagi mengelakkan ‘penggunaan panik’ di kalangan mereka.

Ditanya sama ada perlu atau tidak kerajaan mengumumkan darurat dan seterusnya menguatkuasakan Seksyen 56 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006, beliau berkata, pihaknya melihat tiada lagi keperluan ke arah itu setakat ini memandangkan situasi masih terkawal.

“Sekiranya margin air mentah mencapai tahap 40 peratus, mungkin ia (darurat) boleh dipertimbangkan…bagaimanapun setakat ini kita belum pernah lagi umum ‘darurat air’,” katanya.

WSIA adalah kuasa khas semasa kecemasan berkaitan penggunaan sumber air yang diberikan kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli .

Seksyen 56 akta itu antara lain memberi kuasa kepada menteri berkenaan untuk menghalang penggunaan air secara umum atau untuk kegunaan tertentu, mengehadkan penggunaan dan pengeluaran air pada waktu tertentu, dan mengenakan caj tambahan ke atas penggunaan yang melebihi had yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: