Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris
hari ini mengarahkan penurunan papan tanda di tugu askar Jepun yang
menyifatkan askar negara itu yang terlibat dalam penjajahan Malaya
sebagai "wira".
Mengakui kesilapan itu, Asmirul berkata beliau mahu perkara itu diperbetulkan secara segera.
"Saya
mengarahkan dan saya sendiri yang buang (papan tanda) untuk
memperbetulkan perkara itu secepat mungkin supaya tidak menjadi isu,"
katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Asmirul berkata perkataan "wira" di papan tanda itu akan ditukar kepada "askar".
Katanya lagi, mesej antiperang juga akan diletakkan di tugu yang terletak di Alor Setar itu.
"Ia
akan menjadi pengajaran kepada generasi muda bahawa kita tidak mahu
perang serta sentimen perkauman yang membawa kepada peperangan," katanya
lagi.
Isu itu tercetus apabila bahan promosi bagi majlis
perasmian memorial Jambatan Sultan Abdul Halim yang dipulihkan, dikritik
ramai pihak.
Majlis
tersebut anjuran Pejabat Konsulat Jepun dari Pulau Pinang dan Persatuan
Sejarah Malaysia (Cawangan Kedah) serta Muzium Negeri Kedah.
Pengkritik berhujah penjajah Jepun tidak patut diagung-agungkan sebagai wira.
Dalam
pada itu, Asmirul berkata tugu itu sudah wujud ketika pentadbiran BN
dan Pejabat Konsulat Jepun menawarkan untuk melakukan proses pemulihan
kerana ia berada dalam keadaan tidak terjaga.
"Ia hanya dicantikkan sebab daripada (terbiar) kotor dan semak, konsulat Jepun mahu biaya untuk mencantikkannya," katanya lagi.
Menurut
papan tanda tiga bahasa bersebelahan dengan tapak tersebut, tugu
peringatan ini bagi mengenang tindakan Komandan Platun Leftenan Hajima
Asahi dan dua askar Jepun lain.
Ketiga-tiga mereka terkorban
ketika cuba untuk mendapatkan apa yang dikenali pada 13 Disember 1941
sebagai jambatan Alor Setar ketika peringkat awal penaklukan kuasa
penjajah Jepun di Tanah Melayu dan Borneo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan